Berita Berita
Urusan lesen jual vape, e-rokok bawah bidang kuasa kerajaan negeri, PBT - KKM

KUALA LUMPUR 4 Julai – Keputusan sama ada untuk tidak mengeluarkan atau memperbaharui lesen penjualan rokok elektronik (vape) adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), jelas Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kementerian itu, pertimbangan yang dibuat oleh negeri-negeri berkenaan adalah berasaskan kepentingan kesihatan awam dan kesejahteraan masyarakat setempat. KKM turut memaklumkan bahawa pihaknya mengambil maklum tindakan beberapa negeri termasuk Johor, Terengganu, Perlis, Pahang, Kelantan dan Kedah yang telah melaksanakan langkah tidak membenarkan penjualan produk vape selaras dengan bidang kuasa masing-masing.
Kementerian itu juga menyatakan kesediaannya untuk memberikan panduan teknikal serta dasar kesihatan awam kepada negeri-negeri yang mengambil langkah tersebut, selaras dengan pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang bertujuan melindungi kesihatan rakyat Malaysia.
Kenyataan ini turut menyusul selepas titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang menggesa agar penjualan vape diharamkan segera di seluruh negara. Baginda menyuarakan kebimbangan terhadap budaya penggunaan vape yang semakin menular dalam kalangan remaja, serta implikasi buruknya terhadap kesihatan dan kemungkinan menjadi pintu masuk kepada penyalahgunaan dadah.
Dalam kenyataan sama, KKM menjelaskan bahawa Akta 852 telah mula dikuatkuasakan secara berperingkat sejak 1 Oktober 2024 dan akan dilaksanakan sepenuhnya bermula 1 Oktober 2025. Ketika ini, kementerian memberi tumpuan terhadap pelaksanaan penguatkuasaan secara menyeluruh melibatkan aspek pendaftaran, pengiklanan, promosi, penjualan, pembungkusan, pelabelan serta penjualan kepada Orang Belum Dewasa (OBD).
Menurut KKM, pendekatan kawalan terhadap produk merokok termasuk vape sedang dijalankan secara berfasa dan sebarang penilaian terhadap keberkesanan akta berkenaan akan dibuat selepas ia berkuat kuasa sepenuhnya. Walaupun pengharaman sepenuhnya belum dilaksanakan, KKM menegaskan komitmennya dalam memperketat kawalan terhadap produk merokok termasuk vape melalui penguatkuasaan undang-undang berkaitan dan larangan yang termaktub dalam Akta 852.
Kementerian turut menyatakan kesediaan untuk terus bekerjasama dengan semua kerajaan negeri bagi memastikan penguatkuasaan dan kawalan dilaksanakan secara seragam tanpa bercanggah dengan undang-undang sedia ada.
Berita berkaitan
July 4, 2025, 8:51 pm
HRD Corp lancar National Training Index 2024, penanda aras baharu pembangunan kemahiran
July 4, 2025, 8:23 pm
'See you in court' - Steven Sim
July 4, 2025, 8:17 pm
KKM akui kelemahan lantik tauke vape jadi ALPH
July 4, 2025, 6:56 pm
Lelaki cedera parah selepas terjun ke landasan LRT di Stesen Subang Alam
July 4, 2025, 6:48 pm
Trak tentera terjunam ke tasik di Gerik, tiada kecederaan dilaporkan
July 4, 2025, 6:29 pm
Semakan SST bukan alasan naik harga bilik hotel – MOF
July 4, 2025, 6:02 pm
Nurul Izzah dilantik Penasihat Strategik SIDEC sempena ulang tahun ke-10
July 4, 2025, 4:22 pm