TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Mangsa tidak dihantar ke sekolah, hanya makan roti bun' - Wanita dipenjara 8 tahun dera anak angkat guna lesung batu, kayu, pisau

By
|
Kongsi
image

KUALA SELANGOR 4 Julai – Tindakan kejam seorang wanita terhadap anak angkatnya akhirnya menerima hukuman setimpal apabila Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun ke atasnya selepas didapati bersalah mendera mangsa menggunakan pelbagai objek termasuk lesung batu dan pisau.

Menurut laporan Berita Harian, Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza menjatuhkan hukuman terhadap wanita berusia 54 tahun itu selepas mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mahkamah turut memerintahkan wanita itu dipenjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 28 Jun lalu.

Selain itu, tertuduh dikenakan perintah bon berkelakuan baik selama dua tahun selain perlu melakukan khidmat masyarakat selama 40 jam dalam tempoh empat bulan sebaik selesai menjalani hukuman penjara.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai penjaga kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun didakwa melakukan penganiayaan terhadap anak angkatnya dengan cara memukul kanak-kanak itu menggunakan kayu dan lesung batu serta mengelar dengan pisau hingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Bendahara, di sini, pada Jun lalu.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pencegahan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat mengambil kira faktor kepentingan awam dan kekerapan kes dera membabitkan kanak-kanak.

Peguam Khairul Hazwan Rashid Mohd Redduan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon hukuman penjara ringan bermula dari tarikh tangkap dengan alasan anak guamnya tidak mampu membayar denda kerana tiada pendapatan selain suaminya kini dipenjara akibat kes dadah.

Difahamkan, mangsa yang tidak dihantar ke sekolah hanya diberi makan roti bun dan memakai baju sama setiap hari.

+ - reset