TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Banyak masalah akan timbul' - Penduduk bantah NGO bina pusat perlindungan anjing liar secara haram atas tanah rizab kerajaan di Jempol

By
|
Kongsi
image

JEMPOL 4 Julai - Kewujudan sebuah pusat perlindungan anjing liar yang didakwa dibina secara haram oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di atas tanah rizab kerajaan di Jalan Rompin menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk setempat.

Menurut laporan Sinar Harian, lokasi pusat itu yang tersorok dan berpagar zink didapati dibina bersebelahan ladang kelapa sawit, menyebabkan ia sukar dikesan pihak berkuasa sebelum ini.

Namun, pembinaan itu terbongkar selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, menyedarinya ketika meronda keadaan jalan raya di kawasan tersebut pada 21 Jun lalu.

"Ketika meronda di lokasi, saya nampak ada kerja-kerja pembinaan struktur di situ dan apabila saya tanya, mereka beritahu sedang bina pusat penempatan anjing.

"Saya kemudiannya berhubung dengan Pejabat Daerah dan Tanah Jempol (PDT) bagi mendapatkan kepastian dan dimaklumkan ia dibina di tanah rizab kerajaan tanpa mendapat kelulusan," katanya ketika ditemui pemberita pada Jumaat.

Menurutnya, PDT Jempol telah mengeluarkan notis pada 24 Jun meminta pihak terlibat menghentikan kerja dan merobohkan struktur binaan tersebut.

Bagaimanapun, tinjauan mendapati kerja pembinaan masih diteruskan dengan kehadiran bekas makanan anjing yang menunjukkan aktiviti di pusat itu belum dihentikan.

"Saya nampak ia dah separuh siap. Walaupun lokasinya di kawasan ladang, tapi ada Kampung Orang Asli di kawasan berhampiran.

"Saya gesa PDT ambil tindakan segera dan jika tiada tindakan dalam tempoh 14 hari, penduduk kampung bersama saya akan robohkan tempat ini," katanya.

Mohd Zaidy berkata, pembinaan itu mencetuskan kebimbangan penduduk sekitar terhadap risiko penyakit seperti rabies, selain pencemaran bau dan najis.

“Kita bukan benci haiwan. Kita cintai haiwan tetapi lokasi tidak sesuai. Banyak lagi kawasan lain boleh dijadikan pusat perlindungan, bukan di kawasan rizab kerajaan yang berdekatan dengan penempatan penduduk.

“Jika nak buat pusat perlindungan, carilah tanah persendirian yang lebih sesuai tanpa mengganggu kesejahteraan penduduk setempat dan bukannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang,” katanya.

Tambah beliau, projek tersebut tidak mendapat sebarang sokongan atau kelulusan daripada mana-mana wakil rakyat atau Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKT).

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baru Rompin, Norizan Othman turut menyuarakan bantahan.

"Masalah anjing liar ini bukan saja berlaku di kawasan taman-taman perumahan, tapi juga di kawasan kampung dan ia boleh mengundang isu keselamatan.

"Kalau ia dibina di sini, masalah akan bertambah dan kami harap tindakan diambil," katanya.

Terdahulu, seramai 50 pemimpin komuniti dan penduduk berhimpun secara aman di lokasi pembinaan bagi membantah pusat perlindungan anjing liar tersebut.

+ - reset