TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KKM akui kelemahan lantik tauke vape jadi ALPH

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 4 Julai – Kementerian Kesihatan (KKM) mengakui kelemahan dalam pelantikan seorang individu yang dikaitkan sebagai tauke vape sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) Rembau, yang telah memberi kesan besar terhadap persepsi umum terhadap kementerian itu.

Sehubungan itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memberi jaminan bahawa proses pelantikan ALPH di seluruh negara akan disemak semula dan diperkemas.

Menurut beliau, semakan semula itu akan melibatkan aspek kriteria kelayakan serta sumbangan kepada masyarakat setempat yang selari dengan dasar kesihatan awam negara.

“Saya bersama KKM komited untuk terus memperkukuh integriti dan kredibiliti sistem kesihatan negara, termasuk melalui pelantikan wakil masyarakat yang tepat, berwibawa dan berprinsip,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, tular di media sosial mengenai pelantikan seorang individu yang mempunyai kaitan dengan persatuan peruncit peranti vape sebagai ALPH di Hospital Rembau, Negeri Sembilan, sehingga mencetuskan kemarahan pelbagai pihak.

Perkara itu turut mendapat perhatian penceramah bebas, Firdaus Wong, yang mendedahkan menerusi Facebook bahawa pada 23 Jun lalu, Presiden Persatuan Peruncit Peranti dan Cecair Rokok Elektronik (MRECA), Adzwan Ab Manas telah memuat naik sepucuk surat pelantikan sebagai ALPH.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai kontroversi tersebut, Dr. Dzulkefly menjelaskan bahawa KKM telah menerima sebanyak 2,860 pencalonan bagi jawatan ALPH daripada pelbagai pihak termasuk hospital, Exco Kesihatan Negeri dan pemimpin masyarakat untuk 143 hospital di seluruh negara.

Beliau berkata, setiap pencalonan yang dikemukakan kepada beliau telah melalui proses tapisan dengan mengambil kira pertimbangan, penilaian serta perakuan atau syor daripada wakil negeri masing-masing.

“Namun dalam hal ini, wujud khilaf dalam proses tapisan tersebut apabila latar kerjaya calon yang dilantik didapati mempunyai elemen conflict of interest dengan dasar kesihatan semasa yang diperjuangkan oleh KKM.

“Untuk makluman, individu tersebut tidak lagi berkhidmat sebagai ALPH Rembau,” katanya. – Media Telus.

+ - reset