TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

HRD Corp lancar National Training Index 2024, penanda aras baharu pembangunan kemahiran

By
|
Kongsi
image

Oleh NUR LELA ZULKIPLI

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) hari ini melancarkan edisi ketiga Laporan National Training Index (NTI) 2024, sebuah laporan strategik berasaskan data yang menjadi penanda aras baharu dalam pembangunan modal insan negara.

Menurut Ketua Pegawai Strategi HRD Corp, Dr. Rony Ambrose Gobilee, laporan ini bukan sekadar dokumen teknikal tetapi mencerminkan komitmen negara untuk melengkapkan rakyat Malaysia dengan kemahiran relevan bagi mendepani ekonomi moden yang pantas berubah.

“Laporan NTI 2024 ini bukan sekadar laporan. Laporan ini mencerminkan komitmen negara untuk melengkapkan rakyat Malaysia dengan kemahiran yang tepat bagi menghadapi ekonomi yang berkembang pesat, di samping memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat untuk meningkatkan dan memperkukuh kemahiran di semua peringkat masyarakat,” katanya.

NTI 2024 memberi tumpuan kepada tiga dimensi utama – Komitmen Kesediaan Firma, Pembangunan Kemahiran Pekerja, dan Keberkesanan Penyedia Latihan.

"Edisi kali ini turut memperkenalkan analisis prestasi mengikut negeri, sekaligus membolehkan penyelarasan dasar dan latihan lebih bersasar," katanya.

Antara dapatan utama laporan itu ialah peningkatan indeks latihan negara daripada 0.75 pada tahun 2023 kepada 0.79 pada 2024.

Kadar penggunaan levi oleh majikan juga meningkat ketara daripada 71% kepada 85%, menunjukkan kesedaran dan pelaburan lebih tinggi dalam latihan pekerja.

“Laporan NTI 2024 akan menjadi rujukan penting bagi pelbagai pihak berkepentingan, membolehkan pembuat dasar merangka intervensi kemahiran yang bersasar, majikan untuk menanda aras dan memperkukuh strategi latihan mereka, penyedia latihan menawarkan program yang lebih relevan dan berimpak tinggi, serta penyelidik dan akademik menjejak tren modal insan dan mengukur kemajuan negara,” tambah Dr. Rony.

Laporan itu turut menyokong inisiatif nasional seperti Rancangan Malaysia, Pelan Tindakan Daya Saing Negara 2025 serta pelbagai pelan strategik negeri dan ASEAN, termasuk menyambut Tahun Kemahiran ASEAN 2025 (AYOS) dan Minggu Latihan Kebangsaan (NTW 2025).

Laporan NTI 2024 diedarkan dalam beberapa forum serantau termasuk ‘Navigating the New Normal’ bagi membina ekosistem kemahiran berasaskan data yang lebih responsif terhadap keperluan semasa.

Laporan penuh boleh dimuat turun di laman web HRD Corp: https://hrdcorp.gov.my.

+ - reset