TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'See you in court' - Steven Sim

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 4 Julai – Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menempelak seorang pemimpin Pas yang didakwa cuba mencetuskan persepsi bahawa pusat khidmatnya tidak beroperasi.

Steven Sim, yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, berkata pemimpin Pas itu mendakwa telah dua kali hadir ke pejabat pusat khidmatnya pada 3 Julai lalu, namun mendapati pejabat berkenaan tidak dibuka.

“Pemimpin Pas itu berkata, tujuan dia datang ke pejabat saya adalah untuk menyerahkan LOD (surat tuntutan) dan meminta saya memohon maaf. Walaupun pagi ini saya tidak menemui sebarang LOD di pejabat, ini tetap jawapan saya kepadanya.

‘Adat berkunjung, harus memaklum,
Adat bertandang, elok dijemput;
Kilat bersabung, hujan pun belum,
Tuan memberi, saya menyahut.
See you in court!’,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa pusat khidmatnya sentiasa terbuka kepada semua pihak, termasuk individu daripada Pas yang ingin memohon bantuan.

Namun, menurutnya, pada hari kejadian beliau dan kakitangan pusat khidmat sedang menghadiri upacara pengebumian datuk kandungnya bagi memberikan penghormatan terakhir.

Justeru, Steven Sim melahirkan rasa kesal terhadap tindakan pemimpin Pas tersebut yang didakwa cuba mengambil kesempatan politik ketika beliau dan keluarganya sedang bersedih.

“Namun, ini bukan kali pertama pemimpin Pas itu mencipta persepsi yang bukan-bukan. Sebelum ini, dia telah memuat naik gambar pelantikan Leftenan Jeneral Datuk Johnny Lim dan membuat provokasi perkauman, kononnya suatu hari nanti mungkin orang Cina akan jadi Perdana Menteri Malaysia,” katanya. – Media Telus.

+ - reset