TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Semakan SST bukan alasan naik harga bilik hotel – MOF

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 4 Julai – Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan bahawa semakan terhadap Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang mula berkuat kuasa 1 Julai tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menaikkan kadar harga bilik hotel.

MOF menjelaskan, semakan itu tidak melibatkan perubahan kepada cukai perkhidmatan yang dikenakan ke atas penginapan hotel serta makanan dan minuman (F&B) yang disediakan di premis hotel.

“Semakan SST tidak memberi kesan ke atas barangan keperluan harian asas. Namun, hotel mungkin terkesan secara tidak langsung susulan peluasan skop cukai perkhidmatan ke atas penyewaan premis komersial dan cukai jualan ke atas makanan tertentu seperti makanan laut premium dan buah-buahan import.

“Pun begitu, kesan ini dijangka tidak menyebabkan peningkatan kos operasi sehingga 10 hingga 15 peratus seperti yang didakwa,” kata kementerian itu.

Sebelum ini, beberapa persatuan hotel mendakwa semakan struktur cukai berkenaan menyebabkan sesetengah pengusaha mempertimbang untuk menaikkan kadar bilik antara 10 hingga 15 peratus.

Mengulas perkara itu, MOF berkata kerajaan akan memantau situasi berkenaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengelakkan kenaikan harga yang tidak munasabah.

“Jika ada hotel yang menaikkan harga dengan alasan SST, KPDN akan meneliti kesan sebenar terhadap hotel-hotel terlibat bagi memastikan tiada unsur pencatutan,” katanya. - Media Telus

+ - reset