Berita Berita
Hamzah persoal keputusan kerajaan tidak sambung khidmat Ketua Hakim Negara

MELAKA 5 Julai – Keputusan kerajaan untuk tidak menyambung perkhidmatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat disifatkan seolah-olah memberi isyarat bahawa integriti kehakiman bukan lagi menjadi keutamaan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan tersebut telah mencetuskan kebimbangan rakyat terhadap kebebasan badan kehakiman negara, sebagaimana yang banyak diperkatakan di media sosial.
Menurutnya, penyokong kerajaan sendiri turut menyuarakan sokongan agar Tengku Maimun diberi peluang untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan sekurang-kurangnya enam bulan lagi.
“Sepatutnya mereka sedar apabila penyokong mereka sendiri mahukan Tun Maimun diberi lanjutan, tetapi hari ini perkara itu tidak berlaku.
“Ini menunjukkan kerajaan hari ini tidak mengambil kira kepentingan masa depan negara dari segi perundangan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Berkelompok Bahagian-bahagian Bersatu Melaka di Ayer Keroh, malam tadi.
Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional menambah, kerajaan seharusnya memahami sebab ramai pihak termasuk penyokongnya sendiri menyokong agar perkhidmatan Tengku Maimun dilanjutkan.
“Saya bukan mahu mendahului, tetapi nampaknya inilah spekulasi yang timbul – seolah-olah perkara ini sengaja dilakukan. Itu yang menjadi persoalan kita,” ujarnya.
Tengku Maimun menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Hakim Negara pada Rabu lalu selepas enam tahun berkhidmat, menjadikannya wanita pertama dalam sejarah Malaysia yang memegang jawatan tertinggi dalam institusi kehakiman negara.
Menurut Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim akan menjalankan tugas sebagai Ketua Hakim Negara mengikut peruntukan Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 9(1)(b) dan Seksyen 9(3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 [Akta 91]. – Media Telus.
Berita berkaitan
July 5, 2025, 11:10 am
Polis siasat wanita tunggang motosikal lawan arus sambil pegang telefon
July 5, 2025, 10:35 am
Tujuh cedera ringan bas ekspres langgar palang had ketinggian di Nilai
July 5, 2025, 10:12 am
Pelajar tingkatan empat maut motosikal terbabas di Shah Alam
July 4, 2025, 8:51 pm
HRD Corp lancar National Training Index 2024, penanda aras baharu pembangunan kemahiran
July 4, 2025, 8:23 pm
'See you in court' - Steven Sim
July 4, 2025, 8:17 pm
KKM akui kelemahan lantik tauke vape jadi ALPH
July 4, 2025, 6:56 pm
Lelaki cedera parah selepas terjun ke landasan LRT di Stesen Subang Alam
July 4, 2025, 6:48 pm
Trak tentera terjunam ke tasik di Gerik, tiada kecederaan dilaporkan
July 4, 2025, 6:29 pm