TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis siasat wanita tunggang motosikal lawan arus sambil pegang telefon

By
|
Kongsi
image

ALOR SETAR 5 Julai – Polis telah membuka kertas siasatan susulan tindakan seorang wanita yang menunggang motosikal secara melawan arus sambil memegang telefon bimbit, dalam kejadian yang dipercayai berlaku di Kilometer 38 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Tol Hutan Kampung, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengabaikan arahan dan isyarat lalu lintas.

Menurutnya, satu laporan polis berhubung kejadian itu telah dibuat di Balai Polis Trafik Kota Setar pada jam 7.34 malam semalam.

“Polis sedang menjalankan siasatan awal dan mendapatkan kerjasama daripada pihak Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) untuk mengesan penunggang motosikal terbabit.

“Kejadian itu susulan satu video berdurasi 23 saat yang tular di Facebook, memaparkan seorang wanita berpakaian gelap menunggang motosikal melawan arus sambil memegang telefon bimbit menuju ke arah Jitra tanpa menghiraukan kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali penunggang terbabit untuk tampil membantu siasatan dengan hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Maklumat juga boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik Kota Setar, Sarjan Mohd Khairulnizam Abdul Aziz di talian 011-28350767 atau menghubungi Balai Polis Trafik Kota Setar di 04-7321222.

“Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh didenda tidak kurang daripada RM300 dan tidak lebih daripada RM2,000.

“Sehubungan itu, Polis Kota Setar menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak memandu secara cuai sehingga membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya. – Media Telus.

+ - reset