TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bas ekspres rempuh palang had ketinggian akibat terlalu bergantung aplikasi navigasi

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 5 Julai – Tindakan terlalu bergantung kepada aplikasi navigasi dikenal pasti sebagai punca sebuah bas ekspres merempuh palang besi had ketinggian di Jalan Mutiara, dekat Putra Mahkota Bangi, malam tadi, sehingga menyebabkan pemandu dan enam penumpang cedera.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati pemandu bas berusia 62 tahun itu tidak menyedari kewujudan palang penghalang berkenaan kerana bergantung sepenuhnya kepada panduan aplikasi navigasi.

Bas berkenaan yang membawa 21 penumpang termasuk tiga kanak-kanak sedang dalam perjalanan dari Kuantan menuju ke Negeri Sembilan dan Melaka ketika kejadian berlaku.

“Bas telah melanggar palang besi had ketinggian di laluan tersebut, menyebabkan ia tersekat di bawah besi penghadang.

“Kemalangan itu menyebabkan bahagian hadapan dan atas bas pecah serta rosak, mengakibatkan pemandu dan enam penumpang cedera termasuk tiga wanita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, empat mangsa telah dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan manakala tiga lagi menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban.

Penumpang yang tidak mengalami sebarang kecederaan telah dibawa pulang ke destinasi masing-masing oleh ahli keluarga yang tiba di lokasi kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Media Telus.

+ - reset