Berita Berita
Empat cedera termasuk kanak-kanak, kereta rempuh tiga motosikal langgar lampu merah

KUANTA 6 Julai – Empat individu termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun cedera selepas sebuah kereta merempuh tiga motosikal di persimpangan lampu isyarat Bukit Setongkol, malam Sabtu lalu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8.45 malam melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 29 tahun dari arah Tanjung Lumpur.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta tersebut meneruskan perjalanan meskipun lampu isyarat ketika itu sudah merah.
“Kereta itu telah melanggar tiga motosikal yang keluar dari simpang, melibatkan empat mangsa berusia antara lapan hingga 32 tahun, terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita.
“Seorang lelaki mengalami retak pergelangan kaki dan cedera di beberapa anggota badan, manakala seorang wanita mengalami patah bahu serta gegaran otak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, seorang kanak-kanak lelaki yang turut terlibat hanya mengalami luka ringan.
Kesemua mangsa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA). Seorang daripada mereka masih dirawat di Zon Kuning manakala yang lain telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.
Mohd Adli berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan membahayakan.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi isyarat lalu lintas dan memandu secara berhemah demi keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya. – Media Telus.
Berita berkaitan
July 6, 2025, 4:19 pm
Lelaki maut dipercayai ditendang lembu sebelum tercampak ke sungai
July 6, 2025, 4:11 pm
Guru ditahan disyaki cabul pelajar OKU intelektual di bilik rawatan sekolah
July 6, 2025, 4:06 pm
PRU16 mungkin diadakan lebih awal, dakwa Tun Faisal
July 6, 2025, 4:02 pm
Dua nyaris maut motosikal terbabas ke dalam gaung di Bukit Fraser
July 6, 2025, 10:50 am
Ibu pejabat PN ditutup selepas tamat tempoh sewaan - Azmin
July 5, 2025, 5:46 pm
Calon SPM maut kemalangan dalam perjalanan ke kelas tambahan
July 5, 2025, 5:10 pm
Peniaga air kelapa cedera, gerai dirempuh kereta dipandu warga emas
July 5, 2025, 4:12 pm
Bas ekspres rempuh palang had ketinggian akibat terlalu bergantung aplikasi navigasi
July 5, 2025, 11:10 am