TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Guru ditahan disyaki cabul pelajar OKU intelektual di bilik rawatan sekolah

By
|
Kongsi
image

REMBAU 6 Julai – Seorang guru lelaki sebuah sekolah menengah di daerah ini ditahan semalam selepas disyaki mencabul seorang pelajar perempuan orang kurang upaya (OKU) intelektual berusia 16 tahun.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 10.40 pagi pada 5 Mei lalu di bilik rawatan sekolah selepas mangsa mengalami sakit kaki sejurus tamat aktiviti rentas desa.

Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Hasani Hussain berkata, guru berusia 36 tahun itu didakwa memaksa mangsa duduk sebelum mengurut kaki, betis dan paha pelajar terbabit serta menyentuh bahagian sensitif walaupun mangsa cuba menolak.

“Mangsa memaklumkan kejadian itu kepada rakan sekelas dan seterusnya kepada guru Pendidikan Khas pada 30 Jun lalu.

“Laporan polis dibuat pada jam 5.15 petang semalam dan suspek ditahan pada jam 10 malam hari sama di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau,” katanya dalam kenyataan.

Hasani berkata, siasatan awal mendapati suspek menafikan dakwaan tersebut, namun kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Difahamkan, mangsa merupakan anak kedua daripada lima beradik dan kini tinggal di sebuah rumah perlindungan kanak-kanak sejak tahun lalu selepas menjadi mangsa gangguan seksual oleh individu lain. – Media Telus.

+ - reset