TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Jaga-jaga, JPJ tarik balik lesen peserta MyLesen B2 jika merempit

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 7 Julai – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi peringatan tegas kepada peserta Program MyLesen B2 agar tidak menyalahgunakan kemudahan yang diberikan kerajaan, khususnya dengan terlibat dalam aktiviti seperti lumba haram.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya sedang meneliti mekanisme cadangan untuk membatalkan lesen yang disalah guna, khususnya dalam kalangan peserta program subsidi kerajaan itu.

“Jangan terlibat dalam aktiviti yang tidak sepatutnya seperti rempit atau lombong tangan. Mana-mana yang terlibat selepas ini, pihak kami sedang dalam proses mencadangkan pembatalan lesen tersebut.

“Jika ditangkap khususnya anak-anak yang terlibat dalam aktiviti rempit atau melanggar peraturan jalan raya, lesen yang diperoleh melalui Program MyLesen B2 subsidi kerajaan mungkin akan ditarik balik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 di sini.

Menurut beliau, program itu adalah sebahagian inisiatif kerajaan untuk membantu golongan B40 mendapatkan lesen motosikal bagi tujuan ke sekolah atau bekerja dalam ekonomi gig.

“Pihak JPJ serius program ini. Lesen diberikan supaya anak-anak dapat teruskan kehidupan dengan selamat, sama ada ke sekolah atau menjalankan pekerjaan gig ekonomi.

“Namun, jika melanggar undang-undang jalan raya, JPJ tidak akan teragak-agak untuk menarik semula lesen tersebut,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menggesa ibu bapa agar memantau dan mendidik anak-anak supaya tidak terjebak dengan budaya negatif.

“Ingatlah, lesen memandu bukan sekadar kad fizikal atau paparan digital dalam telefon pintar, tetapi ia adalah amanah dan tanggungjawab. JPJ tidak akan berkompromi jika ia disalah guna,” tegasnya.

Untuk rekod, seramai 915 peserta daripada golongan B40 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah berjaya menamatkan latihan dan lulus ujian lesen memandu menerusi program berkenaan. 

+ - reset