TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

1,020 pelajar sekolah menengah di Selangor berisiko tinggi alami kemurungan

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 7 Julai – Seramai 1,020 pelajar sekolah menengah di Selangor dikenal pasti berisiko tinggi mengalami kemurungan berdasarkan saringan kesihatan mental yang dijalankan kerajaan negeri melalui instrumen Penilaian Kesihatan Minda (PHQ).

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, hasil saringan terhadap 36,428 pelajar mendapati 2.8 peratus daripada mereka menunjukkan tanda-tanda awal kemurungan.

“Berdasarkan Analisis Data Saringan Minda Sihat Murid Sesi 2024/2025 Negeri Selangor menunjukkan tingkah laku psikososial negatif di kalangan murid dalam keadaan terkawal.

“Tahap kemurungan murid diukur menggunakan instrumen PHQ menunjukkan seramai 1,020 daripada 36,428 pelajar sekolah menengah yang telah disaring mempunyai tanda-tanda awal kategori berisiko tinggi,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan daripada Azmizam Zaman Huri (PH–Pelabuhan Klang) yang ingin mengetahui status kesihatan mental pelajar.

Jamaliah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama berkata, program intervensi telah diperluas ke sekolah rendah, khususnya bagi murid Tahun 5 dan Tahun 6, sebagai langkah pencegahan awal.

“Fokus intervensi adalah kepada pembangunan emosi dan tingkah laku, aktiviti pencegahan awal, latihan pemerkasaan Guru Bimbingan dan Kaunseling sekolah rendah.

“Ini dilakukan melalui bengkel kemahiran intervensi minda sihat. Antara Intervensi Umum dan Amalan Gaya Hidup Sihat yang dijalankan adalah Sesi Bimbingan, Teknik Relaksasi, Latihan Pernafasan, Senaman dan Urutan Bahu dan Leher,” katanya.

Beliau menegaskan, usaha tersebut bertujuan membina daya tahan diri dan memupuk kesedaran awal mengenai kepentingan kesihatan mental bermula dari peringkat asas.

+ - reset