TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Johari, Amir Hamzah jalankan tugas hingga pelantikan baharu – Perdana Menteri

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 11 Julai 2025 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa pelantikan sementara Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan untuk menjalankan tugas dua portfolio kementerian bukan disebabkan ketiadaan calon sesuai dalam kalangan kepimpinan kerajaan.

Sebaliknya, katanya, kedua-dua menteri itu diberi mandat untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta Menteri Ekonomi secara sementara, sementara menunggu pelantikan rasmi yang baharu.

“Kita minta Amir Hamzah dan Johari Ghani jalankan tugas... kemudian jalankan dengan baik, tidak perlu terburu-buru. Mereka akan teruskan sehingga pelantikan baharu dibuat,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Ar-Rahim, Presint 15, hari ini.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, mengesahkan bahawa Amir Hamzah, yang kini Menteri Kewangan II, dan Johari Ghani, selaku Menteri Perladangan dan Komoditi, diberi tanggungjawab tambahan masing-masing untuk portfolio Ekonomi dan Sumber Asli serta Kelestarian Alam.

Pelantikan sementara ini susulan peletakan jawatan dua pemimpin utama PKR, iaitu Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun, dan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuat kuasa 4 Julai.

Kedua-dua mereka meletakkan jawatan selepas tewas dalam pemilihan parti baru-baru ini, masing-masing sebagai Timbalan Presiden dan Naib Presiden.

Anwar turut menepis dakwaan wujudnya kekeliruan atau kekurangan calon sesuai, sambil menegaskan pelantikan sementara ini adalah langkah wajar bagi memastikan kelangsungan urusan pentadbiran.

“Ada yang kata keliru... kononnya tak ada orang sampai perlu pemangku. Itu tak betul. Ini hanya menjalankan tugas sementara. Kalau Ahli Parlimen pembangkang pun tidak faham hal ini, susahlah,” katanya sinis.

Beliau menegaskan tiada keperluan tergesa-gesa untuk mengisi kekosongan jawatan secara tetap dan proses pelantikan akan dilakukan mengikut keperluan serta waktu yang sesuai.

+ - reset