TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

HRD Corp lancar IndSF Semikonduktor pertama di Malaysia, sasar jadi hab bakat global

By
|
Kongsi
image

Oleh NUR LELA ZULKIPLI

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Malaysia mengambil satu lagi langkah strategik dalam memperkukuh daya saing industri semikonduktor apabila Human Resource Development Corporation (HRD Corp) melancarkan Industrial Skills Framework (IndSF) pertama khusus untuk sektor itu, semalam.

Dokumen yang dibangunkan bersama Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) dan peneraju industri utama itu bertujuan menyusun laluan kerjaya dan menjadi penanda aras latihan dalam menyediakan tenaga kerja tempatan untuk keperluan sektor semikonduktor yang semakin berkembang.

Ketua Pegawai Strategi HRD Corp, Dr. Rony Ambrose Gobilee berkata, pelancaran dokumen tersebut merupakan simbol komitmen HRD Corp terhadap Strategi Semikonduktor Negara (NSS) dan pembangunan tenaga kerja kejuruteraan serta teknikal.

“Pelancaran dokumen IndSF untuk Industri Semikonduktor ini bukan sekadar penerbitan dokumen biasa, malah ia menggambarkan komitmen tidak berbelah bahagi HRD Corp dalam menyokong NSS, khususnya dalam memperkukuh tenaga kerja kejuruteraan dan teknikal negara,” katanya.

Beliau menambah, pelaburan dalam latihan berasaskan keperluan sebenar industri amat penting dalam membentuk kesiapsiagaan tenaga kerja Malaysia ke arah menjadikan negara sebagai hab utama dalam rantaian nilai global semikonduktor.

Rangka kerja tersebut turut memberi tumpuan kepada dua bidang utama iaitu teknikal dan kejuruteraan serta memetakan perkembangan kerjaya dari peringkat asas hingga ke sembilan domain kejuruteraan kritikal.

Presiden MSIA, Datuk Seri Wong Siew Hai dalam kenyataannya menyatakan penghargaan terhadap kerjasama yang terjalin antara pihaknya dan HRD Corp dalam pembangunan dokumen tersebut.

“Rangka kerja ini menghubungkan keperluan industri dengan pembangunan bakat dan memastikan tenaga kerja Malaysia bersedia memenuhi tuntutan teknologi dalam ekosistem semikonduktor.
Ia merupakan komponen penting dalam merealisasikan NSS dan meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam rantaian nilai global semikonduktor,” ujarnya.

HRD Corp turut menggalakkan penyedia latihan, institusi pendidikan serta profesional industri menjadikan dokumen ini sebagai panduan utama dalam pembangunan kemahiran dan penawaran program latihan berkaitan.

Majikan industri semikonduktor serta golongan profesional turut digalakkan untuk memanfaatkan dokumen tersebut dalam merancang perjalanan kerjaya dan pembangunan kompetensi mereka.

Dokumen penuh IndSF untuk Industri Semikonduktor boleh dimuat turun menerusi pautan rasmi HRD Corp di: https://hrdcorp.gov.my/indsf/semiconductor. - Media Telus

 

 

+ - reset