TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Titah Adendum Najib bawah proses mahkamah, kerajaan hormat pandangan semua pihak – PM

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 11 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan menghormati pandangan semua pihak berhubung isu Titah Adendum, namun menekankan bahawa perkara itu kini tertakluk sepenuhnya kepada proses mahkamah.

Beliau berkata, semua pihak seharusnya memberi ruang kepada sistem perundangan untuk menentukan kesahihan dan implikasi titah tersebut mengikut saluran undang-undang yang betul.

“Titah Adendum ini urusan mahkamah sekarang, tiada masalah. Pandangan masing-masing kita hormati, tapi ia perlu ikut proses,” katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Ar-Rahim, Presint 15.

Kenyataan itu merujuk kepada desakan UMNO yang memohon agar titah tahanan rumah ke atas Datuk Seri Najib Razak dapat dilaksanakan berdasarkan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mengesahkan bahawa Peguam Negara telah mengakui kewujudan Titah Adendum tersebut.

Pada Rabu, media melaporkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak mempertikaikan kewujudan dokumen itu, sebaliknya membangkitkan persoalan mengenai cara ia dikemukakan sebagai bukti dalam permohonan semakan kehakiman oleh bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Tinggi.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

Beliau sebelum ini memfailkan petisyen pengampunan diraja pada 2 September 2022 dan Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukumannya daripada 12 tahun kepada enam tahun penjara, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. - Media Telus

+ - reset