TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Santai

Karnival Kesenian Islam dan Malam Mahabbah Madani semarak Maal Hijrah di Tambun

By
|
Kongsi
image

TAMBUN 11 Julai – Parlimen Tambun akan menganjurkan Karnival Kesenian Islam dan Malam Mahabbah Madani sempena sambutan Maal Hijrah 1447H bertemakan ‘Hijrah Membina Ummah Madani’ pada Ahad, 13 Julai 2025.

Program yang dijadual berlangsung di pekarangan Masjid Jamek Al-Amin, Kampung Lata, Ipoh itu akan bermula seawal jam 5.30 pagi sehingga 11.00 malam.

Karnival ini dianjurkan dengan kerjasama strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai usaha memperkukuh aktiviti keislaman dan kerohanian dalam komuniti, di samping memupuk semangat hijrah dalam kalangan masyarakat.

Menurut kenyataan penganjur, program ini menjadi platform merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat melalui penghayatan konsep hijrah yang menekankan pembangunan rohani dan transformasi diri.

Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Tambun, YAB Dato’ Sri Anwar Ibrahim, turut menyokong penganjuran program ini dan menggalakkan ia diperluaskan ke sekolah-sekolah sekitar Tambun melalui sumbangan tunai yang telah diluluskan.

Pelbagai pengisian menarik disediakan, termasuk demonstrasi khat, penyalinan dan percetakan al-Quran, serta persembahan nasyid oleh kumpulan terkenal seperti UNIC, Raihan dan Mirwana.

Turut diadakan pertandingan nasyid antara sekolah, forum hijrah bersama PU Riz dan Neelofa selaku panel, serta Kamil Munim sebagai moderator.

Acara kemuncak pada malam hari menyaksikan Malam Mahabbah Madani yang menampilkan persembahan qasidah, bacaan doa, penyerahan sumbangan dan majlis selawat beramai-ramai.

Sementara itu, kempen “Solat Subuh Macam Jumaat” akan disertai oleh selebriti seperti Nabil Ahmad, Angah Raja Lawak, Qawiyaro dan Shamsul Ghau-Ghau.

Aktiviti luar pentas yang turut memeriahkan karnival termasuk pertandingan street soccer, gusti lengan, larian amal, pertandingan memasak, kenduri rakyat serta gotong-royong membersihkan kubur.

Pengunjung juga berpeluang mengikuti sesi tazkirah bersama Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, selain menyertai pelbagai program komuniti seperti jualan Rahmah, pameran agensi, jualan usahawan, pemeriksaan kesihatan, penukaran minyak hitam dan gunting rambut percuma, serta cabutan bertuah.

Program ini menzahirkan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan perpaduan, kasih sayang dan keharmonian antara masyarakat pelbagai latar belakang, selaras dengan misi kerajaan membina negara yang inklusif dan sejahtera. - Media Telus

+ - reset