TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Gagal tunai janji lama, MCA dakwa DAP khianati mandat pengundi Cina

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 12 Julai - MCA terus mengkritik kepimpinan DAP apabila mendakwa parti itu mengabaikan kepentingan masyarakat Cina selepas berkuasa, walaupun banyak bergantung kepada sokongan komuniti itu untuk menang dalam pilihan raya.

Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng menyifatkan DAP sebagai parti yang hanya pandai menabur janji ketika kempen, namun gagal melaksanakannya apabila berada dalam kerajaan.

“DAP bergantung kepada undi Cina untuk dipilih, tetapi kini parti itu meninggalkan masyarakat Cina dalam setiap isu besar yang berlaku dalam negara. Ini adalah fakta yang tidak boleh dipertikaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan balas Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan yang sebelum ini menolak dakwaan MCA dan menegaskan bahawa parti itu memperjuangkan hak semua rakyat tanpa mengira kaum.

Namun bagi Teik Cheng, kenyataan Syahredzan disifatkan sebagai angkuh dan menafikan realiti sebenar yang dirasai masyarakat di peringkat akar umbi.

“Saya menggesa DAP menyelami rasa tidak puas hati rakyat yang semakin meningkat, berhenti melarikan diri daripada realiti dan berhentilah daripada buat-buat lupa terhadap janji yang ditaburkan kepada masyarakat Cina.”

Menurutnya, ramai dalam kalangan masyarakat Cina kini kecewa kerana banyak isu penting gagal ditangani, malah pemimpin DAP dilihat tidak lagi lantang bersuara seperti sebelum berkuasa.

“Banyak isu membabitkan hak masyarakat Cina tidak dibela, malah memungkiri janji pernah ditabur sebelum ini. Pemimpin DAP mengaku kononnya mereka membela nasib semua kaum, tetapi hakikatnya tidak begitu.

“Banyak janji DAP tidak ditunaikan, termasuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu, memberi hak milik tanah kekal bagi setiap kampung Cina, menutup loji nadir bumi Lynas, memansuhkan tol dan melaksanakan pilihan raya majlis tempatan.”

Beliau juga menegaskan bahawa sepanjang tempoh DAP berada dalam kerajaan, beberapa dasar yang dilaksanakan turut memberi tekanan kepada rakyat.

“Mereka sudah berkuasa selama beberapa tahun tetapi menangguhkan dan tidak pernah melaksanakan janji. Begitu juga perjuangan dalam bidang pendidikan, tindakan peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST), menaikkan tarif elektrik dan melaksanakan dasar seperti e-invois.”

Tambahnya lagi, pemimpin DAP perlu berhenti menyalahkan pihak lain dan mula memikul tanggungjawab untuk menunaikan janji-janji yang dibuat kepada pengundi.

+ - reset