TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

UMS terima dana tambahan RM1 juta selesai krisis air dalam tempoh sebulan - Fadillah

By
|
Kongsi
image

KOTA KINABALU 14 Julai – Kerajaan Persekutuan meluluskan tambahan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi melaksanakan pelan intervensi jangka pendek bertujuan mengatasi masalah gangguan bekalan air yang berlarutan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Perkara itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof ketika melakukan lawatan kerja ke universiti berkenaan hari ini.

Menurut Fadillah, dana tambahan tersebut akan disalurkan menerusi kementeriannya dan dilaksanakan secara kerjasama antara Jabatan Air Negeri Sabah dan pihak pengurusan UMS.

Antara langkah penyelesaian yang akan dilaksanakan ialah pembinaan saluran paip pengagihan khas bagi menyambung bekalan daripada sumber air bawah tanah milik UMS sedia ada.

Selain itu, projek berkenaan turut merangkumi pembinaan tangki air bawah tanah berkapasiti tambahan 0.13 juta liter bagi menambah simpanan bekalan air universiti serta pemasangan injap modulat automatik untuk menstabilkan paras air dalam tangki air UMS.

“Langkah ini dijangka memberi manfaat secara langsung kepada lebih 3,000 pelajar, khususnya mereka yang tinggal di Kolej Kediaman Tun Mustapha dan Kolej Kediaman Tun Fuad yang sering terjejas akibat gangguan bekalan air.

“Bagi memastikan tekanan air mencukupi ke kawasan kediaman pelajar, Jabatan Air Negeri Sabah juga akan memasang pam penggalak sebaris (in-line booster pump) dari tangki utama ke kedua-dua kolej kediaman itu menggunakan paip pintasan sedia ada yang dibina oleh UMS,” katanya.

Menurut Fadillah, kerja-kerja intervensi dijangka mengambil masa kira-kira sebulan untuk disiapkan dan ia diharapkan dapat meningkatkan kecekapan sistem operasi bekalan air di UMS.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir serta Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor.

Untuk rekod, pada Mei 2023 Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM3 juta bagi menangani isu bekalan air di kampus UMS, sebelum ditambah lagi sebanyak RM2 juta oleh Zambry pada tahun berikutnya.

Namun begitu, ribuan pelajar masih terus berdepan masalah bekalan air berpanjangan sehingga ada yang mengadakan protes terhadap kerajaan.

+ - reset