TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Peguam, NGO berkumpul depan Istana Kehakiman, Nurul Izzah turut hadir

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 14 Julai - Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman yang dijadualkan berlangsung petang ini menyaksikan sekumpulan peguam dan aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mula berhimpun di sekitar kawasan Istana Kehakiman seawal jam 12.30 tengah hari.

Perhimpunan itu dianjurkan bagi menuntut penambahbaikan terhadap sistem kehakiman negara, sebelum peserta dijadualkan berarak sejauh 2.6 kilometer menuju ke Pejabat Perdana Menteri pada jam 2.30 petang, dengan penyerahan memorandum berkaitan empat tuntutan utama.

Dalam laporan Berita Harian, antara perkara yang diperjuangkan menerusi perarakan ini termasuk isu pelantikan jawatan tertinggi kehakiman, desakan supaya minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) baru-baru ini didedahkan, penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan campur tangan kehakiman serta penyelesaian segera terhadap masalah kekosongan jawatan kehakiman.

Presiden Badan Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab dalam kenyataannya pada 9 Julai lalu menegaskan perarakan ini bukan menyasarkan mana-mana individu tetapi demi mempertahankan integriti institusi kehakiman.

“Apabila kebebasan badan kehakiman menjadi rapuh, seluruh negara menanggung akibatnya.

“Perarakan itu satu tindakan yang sah di sisi undang-undang, aman dan bersifat simbolik yang mencerminkan komitmen teguh profesion guaman dalam mempertahan Perlembagaan Persekutuan, doktrin pengasingan kuasa dan kedaulatan undang-undang.

“Ia adalah kenyataan kolektif bahawa kebebasan badan kehakiman bukan sesuatu yang boleh dirunding dan ia mesti dilindungi daripada sebarang pengaruh luar, sama ada bersifat politik, badan Eksekutif atau sebaliknya,” katanya.

Menurutnya lagi, perarakan ini bukan hanya melibatkan peguam semata-mata, tetapi juga membawa suara setiap rakyat Malaysia yang menghargai keadilan.

Antara individu yang kelihatan hadir setakat tengah hari ini termasuk bekas menteri, Tan Sri Rais Yatim; peguam kanan, Haniff Khatri Abdullah; aktivis undang-undang, Siti Kassim; bekas Presiden Badan Peguam Malaysia, Datuk Ambiga Sreenevasan serta Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Turut hadir ialah anak kepada Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang memaklumkan beliau akan mengeluarkan kenyataan lanjut menerusi Facebook pada sebelah petang.

Suasana sekitar Istana Kehakiman turut menyaksikan kelibat petugas memakai vest jingga selain individu bersut hitam dan berkemeja putih, dipercayai sebahagian daripada peserta perarakan.

Difahamkan beberapa peguam dijadualkan menyampaikan ucapan sebelum perarakan dimulakan.

+ - reset