TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penuntut universiti di Subang Jaya parah dikelar bekas kekasih

By
|
Kongsi
image

SUBANG JAYA 15 Julai - Seorang pelajar perempuan warga asing berusia 20 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian leher selepas diserang dalam kejadian di sebuah universiti swasta di sini petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, pihak polis menerima maklumat berhubung insiden tersebut sekitar jam 6.30 petang yang melibatkan seorang lelaki warga asing berusia 21 tahun yang dipercayai mencederakan bekas teman wanitanya menggunakan pisau.

“Mangsa dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut sebelum ditempatkan di Zon Merah dan kini berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Suspek ditahan tidak lama selepas kejadian berlaku dan punca serangan masih dalam siasatan pihak polis.

Wan Azlan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

“Jika disabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara selama 10 tahun maksimum atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Fadizah Ajamin di talian 019-8582166. “Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

+ - reset