Berita Berita
Syiling Malaysia dipamer CIA sebagai artifak simbolik di ibu pejabat Virginia

KUALA LUMPUR 16 Julai – Tiga keping syiling Malaysia telah dipaparkan sebagai sebahagian daripada sorotan artifak mingguan oleh Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) menerusi akaun rasmi X (dahulu Twitter) agensi itu baru-baru ini.
Syiling berkenaan terdiri daripada syiling 20 sen keluaran 2018, syiling 10 sen (2017) dan syiling 5 sen (2018), yang ditemui di kaki patung Nathan Hale — terletak di luar Bangunan Ibu Pejabat Asal CIA di Langley, Virginia.
Menurut CIA, setiap syiling itu mempunyai ilustrasi kecil yang unik: syiling 20 sen menampilkan figura lidi, syiling 10 sen menyerupai imej wanita atau kanak-kanak, manakala syiling 5 sen memaparkan kesan tapak kaki haiwan.
Bagaimanapun, agensi itu tidak mendedahkan siapa yang meninggalkan syiling-syiling berkenaan atau bila ia diletakkan di situ.
Dalam kenyataan di laman web rasminya, CIA menjelaskan bahawa terdapat kepercayaan dalam kalangan pegawainya untuk meninggalkan syiling di kaki patung Hale sebelum berangkat menjalankan tugas ke luar negara.
“Menurut legenda, tindakan itu membawa tuah dan diyakini dapat memastikan Hale melindungi keselamatan pegawai terbabit sepanjang misi mereka,” kata agensi tersebut.
Patung Nathan Hale, yang digambarkan dengan tangan terikat dan wajah penuh tekad, didirikan sebagai penghormatan kepada figura yang dianggap sebagai pegawai perisikan pertama Amerika Syarikat. Hale dihukum bunuh oleh pihak British pada 1776 ketika berusia 21 tahun selepas ditangkap kerana mengintip semasa Perang Revolusi Amerika.
Kebiasaannya, pegawai CIA akan meninggalkan syiling suku dolar AS yang memaparkan imej George Washington. Namun, ada juga yang memilih syiling lain yang membawa makna simbolik atau bersifat peribadi — termasuk syiling asing seperti dari Malaysia.
Sebahagian pegawai turut meninggalkan jumlah 76 sen bagi memperingati tahun 1776, tahun penting dalam sejarah kemerdekaan AS.
Muzium CIA secara berkala akan mengumpul syiling yang ditinggalkan di kaki patung Hale dan menyumbangkannya kepada Yayasan Memorial Pegawai CIA serta Third Option Foundation, yang menyalurkan bantuan kepada pegawai cedera dan keluarga pegawai yang terkorban semasa bertugas. – Media Telus
Berita berkaitan
July 16, 2025, 5:07 pm
Giliran Sarawak pula bakal haramkan vape
July 16, 2025, 3:09 pm
Seorang maut, 13 cedera termasuk budak, pikap terjunam dalam gaung 15 meter
July 16, 2025, 2:44 pm
Rafizi sindir PAS ubah pendirian isu kehakiman tiga kali seminggu
July 16, 2025, 2:34 pm
Johari tegur Ahli Parlimen gemar bersuara di luar, tapi jarang hadir sidang
July 16, 2025, 2:29 pm
Operasi SAR pempengaruh permotoran diperluas hingga 10km
July 16, 2025, 2:14 pm
2,467 kes keganasan rumah tangga direkod dalam masa 4 bulan
July 16, 2025, 1:22 pm