Berita Berita
Wanita dakwa dengar bisikan halus, ugut bunuh, pijak budak lelaki dalam kedai runcit di Mantin

NILAI 16 Julai - Seorang wanita pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) ditahan polis malam tadi selepas disyaki menendang dan memijak seorang kanak-kanak lelaki dalam kejadian di sebuah kedai runcit di kawasan perumahan Sri Palma Villa, Mantin di sini.
Dalam kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari semalam, wanita berusia 30-an itu dikatakan menyerang mangsa berusia 11 tahun selepas mengesyaki kanak-kanak itu mencuri barangan dari premis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada ibu mangsa sekitar jam 3.30 petang.
"Wanita itu mendakwa anaknya dipukul dan diugut seorang wanita dikenali di sebuah kedai runcit.
"Sepasukan polis dari IPD Nilai menahan seorang wanita tempatan berusia 30-an kira-kira jam 11 malam tadi, disyaki mencederakan kanak-kanak tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semasa kejadian mangsa sedang membeli minuman sebelum tiba-tiba diserang suspek yang menendang dan memijaknya di bahagian muka serta kaki.
"Suspek turut didakwa mengeluarkan ugutan bunuh terhadap mangsa. Kejadian itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan disaksikan seorang pelanggan," tambahnya.
Menurut Abdul Malik, suspek adalah pemegang kad OKU dan dipercayai mengalami masalah kesihatan mental serta berada dalam keadaan halusinasi ketika kejadian berlaku.
"Dia mengesyaki mangsa mencuri walaupun tiada bukti yang menunjukkan demikian," katanya.
Polis turut merampas sehelai baju berhud kelabu dan alat mainan berbentuk senjata sebagai barang kes.
Mangsa menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban dan dilaporkan mengalami bengkak pada hidung serta lebam di beberapa bahagian kaki.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan melakukan ugutan jenayah.
"Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban pagi tadi dan telah direman selama empat hari hingga 19 Julai bagi membantu siasatan," kata Abdul Malik.
Berita berkaitan
July 16, 2025, 5:07 pm
Giliran Sarawak pula bakal haramkan vape
July 16, 2025, 3:09 pm
Seorang maut, 13 cedera termasuk budak, pikap terjunam dalam gaung 15 meter
July 16, 2025, 2:44 pm
Rafizi sindir PAS ubah pendirian isu kehakiman tiga kali seminggu
July 16, 2025, 2:34 pm
Johari tegur Ahli Parlimen gemar bersuara di luar, tapi jarang hadir sidang
July 16, 2025, 2:29 pm
Operasi SAR pempengaruh permotoran diperluas hingga 10km
July 16, 2025, 2:22 pm
Syiling Malaysia dipamer CIA sebagai artifak simbolik di ibu pejabat Virginia
July 16, 2025, 2:14 pm
2,467 kes keganasan rumah tangga direkod dalam masa 4 bulan
July 16, 2025, 1:22 pm