TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Johari tegur Ahli Parlimen gemar bersuara di luar, tapi jarang hadir sidang

By
|
Kongsi
image

PETALING JAYA 16 Julai – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menegur sikap segelintir Ahli Parlimen yang lantang bersuara di luar Dewan Rakyat tetapi sering tidak hadir semasa persidangan.

Menurut beliau, golongan ini kerap mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan rakyat serta menjejaskan keharmonian negara.

“Mereka yang baik ialah yang menyumbang idea bernas. Yang kurang baik pula hanya tahu membantah apa sahaja yang dibangkitkan.

“Tetapi yang paling teruk ialah mereka yang kerap ponteng sidang tetapi paling bising di luar dengan kenyataan yang hanya mengganggu ketenteraman awam,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Hari Perhubungan Awam Sedunia 2025, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Johari tidak menyebut secara khusus nama mana-mana Ahli Parlimen yang dimaksudkan.

Terdahulu, beliau pernah mencadangkan supaya nama Ahli Parlimen yang dikesan sengaja tidak hadir ke sidang Dewan Rakyat dipaparkan di laman web rasmi Dewan Rakyat agar rakyat di kawasan masing-masing boleh menilai sendiri prestasi wakil mereka.

Katanya, langkah itu antara cadangan penambahbaikan untuk meningkatkan kadar kehadiran Ahli Parlimen semasa persidangan.

Beliau menambah, sebarang keputusan berkaitan pemaparan nama Ahli Parlimen yang tidak hadir itu akan diputuskan oleh Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Parlimen. – Media Telus

+ - reset