Berita Berita
Wanita KEADILAN kutuk serangan udara Israel ke atas Damsyik, seru henti semua bentuk keganasan

KUALA LUMPUR 17 Julai – Wanita KEADILAN mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara terbaharu yang dilancarkan oleh rejim Israel ke atas ibu kota Syria, Damsyik, yang didakwa telah meragut nyawa orang awam serta mencabuli kedaulatan negara berkenaan.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Wanita KEADILAN menyifatkan tindakan Israel itu sebagai pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa dan Perjanjian Pemisahan 1974 antara Israel dan Syria.
“Tindakan ini bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, tetapi juga mencabuli Perjanjian Pemisahan 1974 antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.
Menurut Wanita KEADILAN, rakyat Syria telah berdepan penderitaan selama lebih sedekad akibat konflik berpanjangan dan campur tangan kuasa asing, dan serangan seperti ini hanya memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang dihadapi mereka.
“Serangan demi serangan hanya menambah luka dan penderitaan mendalam buat rakyat yang tidak bersalah.”
Sehubungan itu, Wanita KEADILAN menyeru agar semua bentuk keganasan serta pencabulan undang-undang antarabangsa dihentikan segera dan menggesa masyarakat antarabangsa bersatu dalam memperjuangkan keamanan dan keadilan buat Syria.
“Kami menyeru kepada komitmen semula terhadap prinsip-prinsip kemanusiaan dan kedaulatan negara. Keganasan bukan jalan penyelesaian,” tambah kenyataan itu.
Wanita KEADILAN turut menyatakan solidariti terhadap rakyat Syria yang menjadi mangsa keganasan dan kekejaman yang berterusan. - Media Telus
Berita berkaitan
July 17, 2025, 8:20 pm
'Jangan ghairah nak makan lawan' - Rafizi anggap desakan gantung MP PKR langkah ‘makan diri’
July 17, 2025, 8:10 pm
Sikap materialistik punca masyarakat berminda rasuah – Azam Baki
July 17, 2025, 7:54 pm
Hamzah Zainudin dilantik Pengarah Pilihan Raya Bersatu
July 17, 2025, 7:39 pm
Suami gagal punca isteri cari ketenangan di luar – Menteri Agama
July 17, 2025, 6:51 pm