Berita Berita
Suami gagal punca isteri cari ketenangan di luar – Menteri Agama

KUALA LUMPUR 17 Julai – Kegagalan lelaki menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan bapa menjadi antara punca wanita mencari ketenangan di luar rumah, termasuk menyertai kumpulan ajaran songsang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata, situasi itu dibuktikan menerusi isu program e-Hati yang tular baru-baru ini dan mencerminkan bagaimana ketiadaan kasih sayang dalam rumah tangga mendorong wanita mencari “penawar” dalam kumpulan tertentu.
“Bila tidak dapat kasih sayang daripada suami, tidak dapat daripada bapa, mereka mencari-cari ketenangan. Kalau mereka jumpa kumpulan yang betul, yang bawa ke jalan syariat, alhamdulillah.
“Tetapi ada juga yang bertemu dengan kumpulan-kumpulan yang membawa fahaman bertentangan dengan prinsip syariat. Sebab itu kita tekankan peranan lelaki sebagai pemimpin dan pelindung keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutup Program Generasi Qawwam ‘Anak Muda Hero Keluarga’ di Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) hari ini.
Menurut Mohd. Na’im, tanggungjawab membentuk lelaki menjadi pemimpin keluarga perlu bermula sejak usia muda agar mereka bersedia memainkan peranan penting apabila mendirikan rumah tangga kelak.
Jelasnya, pelbagai program telah dianjurkan dengan kerjasama Ikram dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi melengkapkan mahasiswa dengan ilmu kepimpinan kekeluargaan.
“Kita tak nak nanti bila mereka dah kahwin baru nak belajar tentang tanggungjawab sebagai suami dan bapa. Kita siapkan mereka daripada awal. Kita beri mereka ilmu, beri mereka alat untuk urus keluarga.
“Kalau mereka nampak contoh bapa yang mendera isteri, mereka tahu itu salah. Mereka perlu jadi lebih baik. Kepimpinan itu bermula dari keluarga sebelum ke masyarakat dan negara,” ujarnya.
Tambah beliau, usaha membentuk generasi lelaki bertanggungjawab itu diharap dapat membantu kerajaan membina masyarakat madani yang menekankan nilai, akhlak dan kefahaman agama.
Berita berkaitan
July 17, 2025, 8:20 pm
'Jangan ghairah nak makan lawan' - Rafizi anggap desakan gantung MP PKR langkah ‘makan diri’
July 17, 2025, 8:10 pm
Sikap materialistik punca masyarakat berminda rasuah – Azam Baki
July 17, 2025, 7:54 pm
Hamzah Zainudin dilantik Pengarah Pilihan Raya Bersatu
July 17, 2025, 6:51 pm