TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Ini bukan laluan utama' - Johari minta DBKL kaji semula rancangan roboh gerai penjaja di Desa Pandan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 17 Julai – Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meneliti semula rancangan merobohkan sembilan gerai penjaja di Desa Pandan yang bakal terkesan dengan projek pelebaran jalan.

Menurut Johari, laluan tersebut hanyalah jalan dalam dan para peniaga di situ telah lama menjalankan perniagaan secara sah dengan lesen yang dikeluarkan pihak berkuasa.

“Mereka ini sudah berniaga di sini bertahun-tahun, dan mereka diberi lesen. Ini adalah punca pendapatan mereka. Apabila pihak DBKL tiba-tiba datang merobohkan gerai tempoh hari, mereka amat terkejut,” katanya pada sidang media selepas meninjau kawasan terlibat hari ini.

Johari, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi serta pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, turut mempersoalkan keputusan DBKL melantik kontraktor sebelum menjalankan sesi libat urus bersama penduduk dan wakil rakyat.

“Difahamkan, DBKL sudah lantik kontraktor projek ini sebelum buat libat urus. Tak logik kalau hanya besarkan jalan di sini, kemudian kurang 100 meter di hadapan akan kembali kecil. Kenapa perlu robohkan gerai sedangkan ini bukan laluan utama?

“Kalau DBKL robohkan sembilan gerai di sini, bagaimana pula nasib 60 peniaga yang beroperasi dekat gerai di hadapan sana?” soalnya.

Beliau juga mencadangkan supaya laluan tersebut ditutup terus kerana ia hanyalah jejambat yang merentasi saluran perparitan dan sering kali dilalui kenderaan berat seperti treler yang tersangkut.

“Saya rasa pelaksanaan projek ini perlu ditangguhkan. Saya bersedia berbincang dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa,” tambahnya.

Semalam, DBKL dalam kenyataan memaklumkan bahawa pengosongan tapak dilakukan secara telus dan teratur mengikut prosedur ditetapkan, serta telah melalui sesi libat urus dan penyampaian maklumat kepada pihak berkepentingan termasuk persatuan dan peniaga.

Isu ini turut mendapat perhatian selepas tular video seorang lelaki mengamuk sambil memegang parang ketika penguat kuasa menjalankan tugas di kawasan terbabit. Polis kemudian menahan lelaki tersebut dan menyiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, wakil peniaga, Mohd Reduan Mohd Rathi, 40, memaklumkan lesen perniagaan sembilan penjaja tersebut telah ditamatkan DBKL pada April lalu tanpa sebarang alasan yang sah.

Beliau juga mempersoalkan aspek keselamatan sekiranya jalan tersebut dilebarkan.

“Jika jalan ini dilebarkan, bagaimana keselamatan penduduk di sini, terutama kanak-kanak yang berjalan ke sekolah? Adakah jalan raya baharu akan berada betul-betul di hadapan pintu rumah kami nanti?

“Pada hari DBKL cuba robohkan gerai kami, ada kemalangan maut melibatkan pejalan kaki. Malah, banyak kemalangan berlaku di sini,” katanya.

+ - reset