Berita Berita
Sebahagian dah setuju penempatan baharu, DBKL akan jumpa semula peniaga Desa Pandan dalam masa terdekat - Dr Zaliha

KUALA LUMPUR 17 Julai - Sesi libat urus lanjutan akan diadakan bersama peniaga yang terkesan dengan projek naik taraf infrastruktur di Desa Pandan dalam masa terdekat, khususnya melibatkan penempatan semula sembilan peniaga terbabit.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata perbincangan berkenaan penting bagi mencari penyelesaian terbaik dan mempercepat pelaksanaan projek pelebaran jalan yang memberi manfaat kepada orang ramai.
“Insya-Allah, dalam bulan ini kita akan bertemu lagi dengan mereka untuk berbincang mengenai lokasi penempatan baharu.
“Ini sebahagian daripada inisiatif 'Lestari Niaga' yang sedang dilaksanakan di Kuala Lumpur. Sebahagian peniaga telah bersetuju, namun ada juga yang masih belum bersetuju.
“Oleh itu, sesi libat urus seterusnya amat penting bagi mencapai persetujuan bersama dan mempercepatkan pelaksanaan projek pelebaran jalan yang sangat penting untuk kemudahan orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Projek Kepimpinan Perubahan Iklim dan Tenaga Hijau (IKLIM) Peringkat Wilayah Persekutuan 2025 di sini, hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meneliti semula perancangan merobohkan sembilan gerai penjaja di Desa Pandan kerana para peniaga menjalankan perniagaan secara sah sejak sekian lama dan laluan terbabit merupakan jalan dalam.
Menurut Dr Zaliha, sesi libat urus terdahulu telah dimulakan sejak November 2024 dan diteruskan pada Januari lalu, termasuk penyampaian notis pengosongan kepada para peniaga.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan DBKL supaya segera mengadakan pertemuan dengan peniaga terbabit serta mencadangkan lokasi perpindahan yang bersesuaian.
“Jadi saya kira mereka tidak perlu bimbang tentang perkara ini. Kita akan bantu menyediakan kemudahan bagi membolehkan mereka terus berniaga,” katanya.
Terdahulu, DBKL memaklumkan kerja merobohkan struktur di Jalan 2/76, Desa Pandan, yang dijadualkan pada 15 Julai lalu terpaksa ditangguhkan susulan kekecohan di tapak operasi.
Projek naik taraf itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa tempatan dalam meningkatkan kemudahan infrastruktur serta melancarkan aliran trafik demi keselesaan dan keselamatan warga kota.
Berita berkaitan
July 17, 2025, 8:20 pm
'Jangan ghairah nak makan lawan' - Rafizi anggap desakan gantung MP PKR langkah ‘makan diri’
July 17, 2025, 8:10 pm
Sikap materialistik punca masyarakat berminda rasuah – Azam Baki
July 17, 2025, 7:54 pm
Hamzah Zainudin dilantik Pengarah Pilihan Raya Bersatu
July 17, 2025, 7:39 pm
Suami gagal punca isteri cari ketenangan di luar – Menteri Agama
July 17, 2025, 6:51 pm