TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Sekolah terpaksa cari dana sendiri' - Sivakumar pertikai tiada peruntukan JPN untuk Karnival Bahasa Tamil

By
|
Kongsi
image

Oleh NUR LELA ZULKIPLI

KUALA LUMPUR 17 Julai – Pengasas dan Presiden Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia (Team DSK), Datuk N Sivakumar mempersoalkan ketiadaan peruntukan daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi penganjuran Karnival Bahasa Tamil peringkat daerah meskipun ia merupakan inisiatif penting Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Beliau berkata, walaupun KPM menyarankan agar Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) menganjurkan Karnival Bahasa sebagai platform pembangunan bakat pelajar, tiada sebarang dana disediakan kepada sekolah tuan rumah yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program tersebut.

“Karnival Bahasa Tamil khususnya memainkan peranan besar dalam memupuk kecintaan terhadap bahasa ibunda dalam kalangan murid sekolah Tamil. Namun, sekolah sendiri terpaksa mencari dana sendiri untuk menjayakan program ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sebagai menyokong usaha memartabatkan bahasa ibunda dan membantu meringankan beban, beliau telah menyumbang sebanyak RM10,000 kepada penganjur Karnival Bahasa Tamil Daerah Gombak.

Bagaimanapun, Sivakumar mempersoalkan bagaimana pula nasib sekolah di daerah lain yang turut diwajibkan menganjurkan karnival itu setiap tahun sebagai sebahagian daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.

“Adakah beban kewangan ini wajar diletakkan sepenuhnya kepada pihak sekolah? Lebih menyedihkan, penganjur utama karnival ini adalah guru-guru yang sedia terbeban dengan tugasan mengajar dan pelbagai tugas lain,” ujarnya.

Tambah beliau, tindakan memaksa guru untuk mencari dana dan menanggung tekanan penganjuran hanya akan menambah beban dalam sistem pendidikan yang sedia mencabar.

“Kita tidak seharusnya membiarkan mereka mencari penaja semata-mata untuk mengejar KPI pihak atasan atau mencipta publisiti murahan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar sistem pelaksanaan program sebegini dikaji semula secara menyeluruh dengan pengagihan tanggungjawab yang lebih seimbang melibatkan kementerian, jabatan pendidikan negeri, masyarakat dan pihak korporat.

“Sudah tiba masanya JPN menunjukkan komitmen sebenar dalam memperkasa program pembangunan pelajar dan bukan sekadar melepaskan tanggungjawab kepada sekolah.

“Jika benar kita ingin melahirkan pemimpin masa depan yang berbudaya dan berilmu, maka semua pihak harus melaksanakan amanah masing-masing secara ikhlas dan sistematik tanpa saling menuding jari,” tegas beliau. - Media Telus

+ - reset