Berita Berita
'Jangan ghairah nak makan lawan' - Rafizi anggap desakan gantung MP PKR langkah ‘makan diri’

KUALA LUMPUR 17 Julai – Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan desakan agar beliau dan lapan Ahli Parlimen PKR lain digantung keahlian susulan cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan isu badan kehakiman sebagai satu percaturan yang boleh memakan diri parti itu sendiri.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, jika tindakan itu diteruskan, ia bukan sahaja akan menjejaskan jumlah kerusi PKR di Parlimen, malah menggambarkan tiadanya ruang demokrasi dalam parti.
“Ada desakan supaya saya dan lapan lagi Ahli Parlimen PKR yang memulakan syor penubuhan RCI mengenai badan kehakiman digantung.
“Maka ramailah ketua-ketua cabang di seluruh negara berlumba-lumba keluar kenyataan media mendesak kami digantung. Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh kata akan bentang kepada Majlis Pimpinan Pusat tidak lama lagi.
“Menggantung sembilan Ahli Parlimen menyebabkan PKR tinggal 22 kerusi, lebih sedikit dari DAP, BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Rafizi, menggantung keahlian mereka tidak menyelesaikan sebarang masalah kerana sebagai wakil rakyat, mereka tetap akan bersuara bagi pihak rakyat.
“Menggantung kami juga tidak menyelesaikan masalah kerana kami dibayar gaji oleh rakyat untuk bersuara bagi pihak mereka, jadi kami akan terus bersuara.
“Menggantung kami memberi gambaran bahawa tidak ada ruang demokrasi dalam PKR, lebih-lebih lagi apabila ada Ahli Parlimen seperti Hassan Abdul Karim yang lebih teruk mengkritik Perdana Menteri sebelum ini, tetapi tidak ada tindakan pun.
“Nasihat saya, kalau main catur atau main dam haji, sebelum ghairah nak makan lawan, tengok dulu aturan kat sebelah kita,” katanya lagi.
Tambah beliau, kekuatan PKR selama ini terletak pada budaya terbuka dan dinamik yang memberi ruang kepada semua pihak bersuara tanpa mengira jawatan.
“PKR juga diminati rakyat sebelum ini kerana paling cepat dan lantang bersuara dalam isu rakyat.
“Itulah amalan kami yang tua-tua ini sehingga PKR berjaya membentuk kerajaan dan membuka peluang kepada pimpinan baru, seperti ketua-ketua cabang ini, untuk menjadi orang besar dan berjawatan.
“Sebab kalau belum tahu budaya dalam PKR, ini satu petua yang saya nak kongsi: Sayangkan anak tangan-tangankan; sayangkan isteri tinggal-tinggalkan, sayangkan negara tegur-tegurkan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Fuziah Salleh sedang mempertimbangkan cadangan untuk menggantung keahlian sembilan Ahli Parlimen berkenaan dan laporan rasmi mengenainya dijangka dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat dalam tempoh dua minggu.
Berita berkaitan
July 17, 2025, 8:10 pm
Sikap materialistik punca masyarakat berminda rasuah – Azam Baki
July 17, 2025, 7:54 pm
Hamzah Zainudin dilantik Pengarah Pilihan Raya Bersatu
July 17, 2025, 7:39 pm
Suami gagal punca isteri cari ketenangan di luar – Menteri Agama
July 17, 2025, 6:51 pm