TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sikap materialistik punca masyarakat berminda rasuah – Azam Baki

By
|
Kongsi
image

 

CYBERJAYA 17 Julai – Peningkatan sikap materialistik dalam kalangan masyarakat dikenal pasti antara punca utama kewujudan masyarakat berminda rasuah (corrupt-minded society), kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Menurutnya, fenomena ini bukan sekadar ancaman sosial tetapi turut menjejaskan usaha negara dalam membina sistem tadbir urus yang telus dan berintegriti.

Katanya, kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2003 menunjukkan 30 peratus mahasiswa ketika itu mengaku sanggup menerima rasuah, dan kumpulan ini kini berada dalam pasaran kerja.

“Operasi tangkapan juga harus lebih agresif bagi membendung gejala rasuah.

“SPRM akan memfokus kes berskala besar membabitkan kerugian wang negara, dan pada masa sama memberi tumpuan terhadap aspek mengesan aset yang disembunyikan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah’ dalam Persidangan Pengarah-Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) di sini, hari ini.

Azam dalam masa sama menzahirkan komitmen SPRM untuk terus mendukung agenda kerajaan membanteras rasuah berdasarkan prinsip bebas, telus dan profesional.

Turut hadir pada persidangan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin.

Mengulas lanjut, Azam turut menyeru seluruh warga LHDNM untuk mempertahankan nilai integriti dan profesionalisme dalam setiap tanggungjawab yang dipikul demi kepentingan negara.

“Usaha membanteras rasuah bukan hanya terletak di bahu SPRM semata-mata, tetapi memerlukan pembabitan seluruh masyarakat sehingga terwujudnya sebuah komuniti yang menolak rasuah secara mutlak.

“Saya juga berharap kerjasama antara SPRM dengan LHDNM akan terus diperkukuhkan walau apapun cabaran dan kritikan dihadapi,” katanya.

+ - reset