Berita Berita
Kelantan negeri kedua paling selamat di Malaysia – Timbalan MB

KOTA BHARU 17 Julai – Kelantan diiktiraf sebagai negeri kedua paling selamat di Malaysia selepas Sabah dengan hanya mencatatkan 96 kes jenayah indeks bagi setiap 100,000 penduduk, menurut Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan keberkesanan pentadbiran negeri dalam menangani cabaran sosial dan jenayah, sekaligus menonjolkan Kelantan sebagai negeri yang mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
“Statistik terkini bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 mencatatkan penurunan ketara sebanyak 14.3 peratus dalam kadar jenayah indeks di Kelantan, berkurangan daripada 1,129 kes kepada 967 kes.
“Penurunan signifikan sebanyak 162 kes ini mencerminkan keberkesanan dasar dan pendekatan bersepadu yang digerakkan oleh pentadbiran negeri serta komitmen tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Mohamed Fadzli berkata, pencapaian itu juga wajar diberi perhatian di sebalik pelbagai persepsi negatif yang sering dilemparkan terhadap negeri Kelantan.
“Perkembangan positif seperti ini wajar lebih diketengahkan bagi memberikan gambaran sebenar tentang kemajuan dan usaha berterusan di Kelantan.
“Pencapaian ini membuktikan dasar pentadbiran berteraskan Penghayatan Membangun Bersama Islam serta sinergi erat antara kerajaan negeri, agensi penguat kuasa dan masyarakat telah membuahkan hasil yang signifikan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pembinaan tembok keselamatan di beberapa laluan strategik di sempadan Malaysia–Thailand bagi memperkukuh kawalan sempadan.
“Inisiatif ini amat penting sebagai langkah strategik untuk meningkatkan kawalan keselamatan serta membendung aktiviti jenayah rentas sempadan yang boleh menjejaskan kedaulatan dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” ujarnya.
Berita berkaitan
July 17, 2025, 8:20 pm
'Jangan ghairah nak makan lawan' - Rafizi anggap desakan gantung MP PKR langkah ‘makan diri’
July 17, 2025, 8:10 pm
Sikap materialistik punca masyarakat berminda rasuah – Azam Baki
July 17, 2025, 7:54 pm
Hamzah Zainudin dilantik Pengarah Pilihan Raya Bersatu
July 17, 2025, 7:39 pm