TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Warga emas dikhuatiri terjatuh dari jambatan ke Sungai Muar

By
|
Kongsi
image

TANGKAK 18 Julai – Seorang lelaki warga emas berusia 62 tahun dikhuatiri terjatuh ke dalam Sungai Muar dari atas Jambatan Panchor, Jalan Panchor-Gersik, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 8.54 pagi selepas dimaklumkan oleh anak mangsa.

Menurutnya, mangsa keluar seorang diri dari rumahnya di Kampung Parit Tunggul, Kundang Ulu kira-kira jam 6 pagi dengan menaiki kereta jenis Mazda CX-5 berwarna kelabu. Mangsa ketika itu dilaporkan memakai baju kemeja kotak berlengan pendek serta kain pelekat berwarna biru.

“Anak mangsa menerima panggilan telefon daripada kakaknya pada jam 7.50 pagi yang memaklumkan bahawa telefon bimbit mangsa telah dijawab oleh orang awam.

“Orang awam itu menyatakan mereka menemui kereta milik mangsa ditinggalkan di atas Jambatan Panchor. Susulan maklumat tersebut, pengadu mengesyaki mangsa telah terjatuh ke dalam Sungai Muar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Roslan berkata, operasi mencari dan menyelamat (Op SAR) digerakkan segera melibatkan kerjasama polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

Setakat ini, katanya, mangsa masih belum ditemukan dan kes diklasifikasikan sebagai kes orang hilang (OH).

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Tangkak di talian 06-9785222. – Media Telus

+ - reset