TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lagu tema 'Malaysia Madani Rakyat Disantuni' wajib dimainkan di semua pejabat kerajaan

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 31 Julai – Semua pejabat kerajaan diwajibkan memainkan lagu tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, Malaysia Madani Rakyat Disantuni, bagi menyemarakkan semangat Bulan Kebangsaan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, lagu yang disifatkan sebagai “merdu, rancak dan menyentuh jiwa” itu berupaya meniupkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.

Katanya, lagu ciptaan Datuk Mokhzani Ismail, susunan komposer muda Affan Mazlan dan dinyanyikan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin itu turut mendapat pujian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Perdana Menteri sendiri kata lagu ini ‘betul-betul sedap’. Saya percaya lagu ini luar biasa dan benar-benar istimewa,” kata Fahmi ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md. Isa; Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.

Disaran main sebelum dan selepas siaran berita

Fahmi turut mencadangkan agar lagu tema itu dimainkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM), Bernama dan stesen penyiaran lain sebelum dan selepas siaran berita utama serta dalam video promosi rasmi sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan.

“Saya minta kementerian sendiri memainkan lagu ini di ruang lobi atau sebagai muzik latar ketika acara rasmi. Kita juga akan cadangkan kepada Jabatan Perdana Menteri agar ia dimainkan di semua majlis rasmi yang dihadiri Perdana Menteri sepanjang bulan ini,” katanya.

Persiapan rapi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia

Menurut Fahmi, Kementerian Komunikasi kini giat membuat pelbagai persiapan bagi memastikan kelancaran sambutan termasuk aspek keselamatan, penyiaran, acara lapangan dan persembahan.

Selain itu, kementerian juga sedang menyelesaikan isu liputan internet serta kawalan trafik di lokasi acara.

“Setakat ini saya berpuas hati. Kita juga sedang merancang beberapa ‘gimik’ khas untuk sambutan tahun ini,” katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini akan diadakan di Putrajaya pada 31 Ogos, manakala Hari Malaysia pula bakal berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena, Pulau Pinang pada 16 September. – Media Telus

+ - reset