TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tukar baju ketika transit elak dicekup, 9 rakyat India ditahan di KLIA

By
|
Kongsi
image

SEPANG 31 Julai - Taktik sekumpulan warga asing yang cuba memperdaya pihak berkuasa dengan menyamar sebagai penumpang baharu selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) semalam berjaya dikesan dan digagalkan.

Cubaan tersebut terbongkar hasil kecekapan dan tindakan pantas Unit Pemantau Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang mengesan gerak-geri mencurigakan kumpulan terbabit.

Menurut kenyataan AKPS, seramai sembilan warga India termasuk lapan lelaki dan seorang wanita dilihat menukar pakaian di kawasan transit dengan tujuan mengelak dikenali, sebelum mencuba untuk menyelinap semula ke barisan pemeriksaan imigresen seolah-olah baru tiba.

“Bagaimanapun, tindakan pantas pasukan pemantau berjaya menahan kesemua suspek sebelum sempat melepasi kawalan kaunter masuk imigresen."

Difahamkan, mereka sebelum itu diarahkan menjalani pemeriksaan lanjut di Pejabat Operasi Imigresen, namun dipercayai cuba mengelak proses tersebut.

Pemeriksaan ke atas 270 warga asing telah dilakukan dalam operasi yang sama, dan hasilnya seramai 13 individu ditahan serta dihantar pulang ke negara asal, terdiri daripada sembilan warga India dan empat lelaki warga Pakistan.

“Hasil pemeriksaan terhadap 270 warga asing, 13 individu telah ditahan dan ditolak masuk ke negara asal masing-masing melibatkan sembilan warga India dan empat lelaki warga Pakistan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan insiden itu, AKPS KLIA memaklumkan kawalan keselamatan di kawasan transit akan diperketatkan lagi melalui peningkatan rondaan, peluasan sistem rakaman CCTV serta pelaksanaan prosedur pengesanan yang lebih menyeluruh.

Agensi itu turut menyeru seluruh komuniti KLIA termasuk petugas operasi dan pengendali penerbangan agar lebih peka dan segera melaporkan sebarang tingkah laku mencurigakan membabitkan warga asing.

“Sokongan dan kewaspadaan bersama amat penting bagi memastikan keselamatan serta integriti pintu masuk negara terus terpelihara,” jelasnya.  - Media Telus

+ - reset