Berita Berita
Subsidi telur ayam tamat bermula esok, kerajaan perkenal telur gred khas harga berpatutan

KUALA LUMPUR 31 Julai – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memperkenalkan telur ayam gred khas pada harga lebih berpatutan sebagai langkah segera memastikan bekalan mencukupi dan harga kekal stabil.
Menurut kenyataan KPKM, inisiatif ini dilaksanakan dengan persetujuan industri sebagai sebahagian daripada pendekatan jangka pendek selepas penstrukturan semula subsidi telur ayam yang akan berkuat kuasa esok.
“Sebagai inisiatif segera untuk memastikan keterjaminan bekalan dan kestabilan harga telur ayam, pihak industri bersetuju untuk memperkenalkan telur gred khas yang akan ditawarkan pada harga yang lebih berpatutan,” jelas kenyataan itu.
Rakyat juga boleh mendapatkan telur pada harga kompetitif melalui program Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah yang dianjurkan secara meluas di seluruh negara, termasuk di premis milik Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan penamatan kawalan harga telur ayam serta pengurangan kadar subsidi daripada 10 sen kepada lima sen sebiji mulai 1 Mei lalu. Subsidi tersebut akan dihentikan sepenuhnya mulai 1 Ogos.
Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memberi jaminan bahawa bekalan telur ayam akan kekal stabil meskipun subsidi dihentikan. Beliau berkata pihak kementerian akan terus berbincang dengan pengeluar dan pengusaha bagi memastikan pengeluaran telur sentiasa mencukupi.
KPKM turut menjelaskan bahawa langkah penstrukturan semula subsidi ini adalah sebahagian daripada usaha mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan. Penjimatan yang dijana akan disalurkan semula kepada program kesejahteraan rakyat yang selari dengan nilai teras Malaysia MADANI.
“Untuk makluman, antara Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 bilion untuk subsidi telur ayam – jumlah besar yang bersifat sementara bagi membantu rakyat serta industri semasa krisis pandemik dan gangguan bekalan global,” katanya.
Dalam keadaan pasaran yang kini lebih stabil, KPKM menjelaskan bahawa penyusunan semula subsidi dilakukan agar lebih menyeluruh dan bersasar.
Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mempertingkat penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi membanteras sebarang bentuk manipulasi harga oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Langkah ini penting bagi memastikan harga kepada pengguna kekal berpatutan dan adil,” kata kenyataan itu.
Berita berkaitan
August 1, 2025, 8:39 am
AS kenakan tarif 19 peratus ke atas Malaysia, rundingan Anwar-Trump berhasil bawa pengurangan
August 1, 2025, 8:25 am
Dua rakyat Turkiye dikhuatiri hilang, kapal layar karam di perairan Terengganu
July 31, 2025, 8:41 pm
Sisters in Islam gugur nama ‘Islam’, patuh nasihat Sultan Selangor
July 31, 2025, 6:44 pm
Terengganu larang penuh penjualan vape bermula esok
July 31, 2025, 6:34 pm
Dr Zaliha dilantik Pengerusi PKR Johor baharu
July 31, 2025, 6:19 pm
243 penumpang bas disaman JPJ Negeri Sembilan kerana tak pakai tali pinggang keledar
July 31, 2025, 6:10 pm
RM611 bilion diperlukan laksana RMK13 – Anwar
July 31, 2025, 5:54 pm
KSN beri jaminan pantau pelaksanaan RMK13
July 31, 2025, 5:48 pm