TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua beradik ditemui di tepi jalan Seremban 2 bukan mangsa pengabaian – polis

By
|
Kongsi
image

SEREMBAN 18 Julai – Dua kanak-kanak yang ditemui berkeliaran di tepi jalan berhampiran Garden Avenue, Seremban 2 semalam bukan ditinggalkan ibu bapa mereka, sebaliknya keluar dari rumah tanpa pengetahuan keluarga.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, siasatan mendapati kedua-dua beradik itu telah keluar secara diam-diam ketika bapa mereka sedang tidur manakala ibu mereka berada di tempat kerja.

“Bertindak atas maklumat orang awam yang menjumpai kanak-kanak terbabit, polis segera ke lokasi dan membawa mereka ke Balai Polis Seremban 2,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan fizikal oleh pihak polis tidak menemui sebarang kecederaan atau tanda-tanda penderaan pada kedua-dua kanak-kanak terbabit.

“Kami telah mengenal pasti ibu bapa mereka, pasangan warganegara Myanmar. Kanak-kanak itu kini telah diserahkan semula kepada keluarga mereka dalam keadaan selamat,” katanya.

Mohamad Hatta turut mengingatkan ibu bapa dan penjaga supaya memastikan pintu rumah sentiasa berkunci dan tidak meninggalkan anak kecil tanpa pengawasan.

“Polis juga mengucapkan terima kasih kepada orang awam atas keprihatinan dan tindakan pantas melaporkan kejadian ini. Kami mohon orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes ini telah diselesaikan,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa video mendakwa dua kanak-kanak itu telah ditinggalkan keluarga, namun dakwaan tersebut adalah tidak benar. – Media Telus

+ - reset