TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tragedi UPSI: MOT dedah laporan awal, bas dipandu 117km/j, dua kali ganda had laju

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 18 Julai — Bas yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik pada 9 Jun lalu, didapati dipandu dua kali ganda melebihi had laju ditetapkan, menurut laporan awal Pasukan Petugas Khas Kementerian Pengangkutan (MOT) yang dikeluarkan hari ini.

Hasil analisis kinematik mendapati bas berkenaan dipandu pada kelajuan 117 kilometer sejam (km/j), sedangkan had laju di laluan berkenaan hanya 60km/j. Kegagalan pemandu mematuhi had laju menyebabkan beliau hilang kawalan sebelum kenderaan terbabas dan terbalik ke kiri jalan.

“Bas dipandu pada kelajuan jauh melebihi tahap selamat untuk laluan berbukit dan selekoh tajam. Kenderaan terbabas lalu menghentam penghadang jalan jenis W-beam yang kemudian menembusi kabin bas, mengakibatkan kecederaan parah serta kematian dalam kalangan penumpang,” menurut laporan tersebut.

Walaupun pemandu mendakwa berlaku kegagalan sistem brek, siasatan belum mengesahkan sebarang kerosakan teknikal.

Pemeriksaan awal mendapati tanda kemungkinan pemanasan melampau pada komponen brek, namun keadaan itu mungkin berpunca daripada penggunaan brek secara tidak wajar atau berlebihan. Penilaian terperinci masih dijalankan dan akan dibentangkan dalam laporan akhir.

Laporan turut mendedahkan beberapa faktor penyumbang lain yang saling berkait menyebabkan tahap risiko dan keparahan kejadian meningkat, termasuk kelemahan reka bentuk jalan, ketidakpatuhan spesifikasi kenderaan, kelemahan pemantauan industri serta penguatkuasaan longgar.

“Reka bentuk jalan tidak menyediakan ciri keselamatan mencukupi, antaranya ketiadaan pembahagi fizikal, garisan tengah yang jelas serta papan tanda amaran mencukupi,” jelas laporan itu.

Selain itu, penghadang jalan jenis W-beam yang tidak memenuhi piawaian keselamatan semasa dikenal pasti menyumbang secara langsung kepada penembusan struktur ke ruang kabin. Kenderaan itu juga tidak dilengkapi dengan peranti kawalan kelajuan seperti alat had laju (SLD) atau sistem pemantauan GPS aktif, sekali gus menyukarkan pemantauan awal kelajuan berlebihan.

Struktur badan bas yang lemah dan ketiadaan sistem keselamatan seperti tali pinggang keledar turut menyebabkan kecederaan parah kepada penumpang.

Laporan turut mendedahkan amalan pengendalian tidak sah seperti pemajakan lesen tanpa kebenaran serta manipulasi dokumen pengawalseliaan, menggambarkan kelemahan pengurusan industri pelancongan dengan tahap pematuhan peraturan yang rendah.

Siasatan juga menunjukkan kedua-dua pemandu yang terbabit mempunyai rekod kesalahan trafik yang serius yang mana pemandu pertama memiliki 18 saman belum dijelaskan manakala pemandu kedua bersama-sama mempunyai lebih 20 saman belum diselesaikan.

“Kegagalan syarikat pengendali melakukan saringan disiplin pemandu secara berkala seperti yang ditetapkan di bawah Kod Amalan Industri Keselamatan (ICOP-Keselamatan) SPAD memperlihatkan kelonggaran ketara dalam pengurusan risiko,” katanya.

Selain kelemahan dalaman syarikat pengendali, laporan itu mendedahkan kegagalan koordinasi antara agensi kawal selia termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Ketiadaan integrasi data dan mekanisme pemantauan masa nyata menyebabkan kelemahan ini berlarutan. Sistem sedia ada bersifat reaktif, tidak berasaskan teknologi pemantauan menyeluruh,” menurut laporan itu lagi.

Kesimpulan awal mendapati punca nahas bukan hanya disebabkan kecuaian pemandu atau isu teknikal, tetapi turut berpunca daripada kegagalan struktur operasi pengendali bas, pemilihan pemandu tidak berkualiti, ketiadaan perlindungan keselamatan mencukupi serta kelemahan penguatkuasaan secara keseluruhan.

“Penemuan ini mencerminkan satu kegagalan sistemik yang serius dalam pengurusan risiko dan kawal selia industri pengangkutan awam yang perlu diperbetulkan segera menerusi pembaharuan menyeluruh,” kata laporan itu.

MOT menjelaskan laporan penuh insiden akan diterbitkan selepas siasatan terperinci selesai. - Media Telus

+ - reset