Berita Berita
Lelaki didakwa libas parang halang operasi roboh di Desa Pandan

KUALA LUMPUR 18 Julai – Seorang lelaki yang tular kerana bertindak agresif dalam operasi meroboh struktur haram di Desa Pandan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan cara melibas parang ke arah anggota penguat kuasa.
Tertuduh, Izat Saini @ Zaini, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amira Abd. Aziz.
Mengikut pertuduhan, Izat didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan melibas parang ke arah dua anggota penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas dalam operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Perbuatan itu dilakukan dengan niat menakutkan penjawat awam daripada melaksanakan kewajipan yang sah di sisi undang-undang.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di simpang tiga, Jalan 4/76B, Desa Pandan, kira-kira pukul 11.17 pagi pada 15 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farhanah Arul Hisham manakala tertuduh diwakili peguam Fadhli Sutris.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu, media melaporkan insiden melibatkan seorang lelaki yang bertindak agresif dengan melibas parang ke arah anggota penguat kuasa DBKL ketika mereka menjalankan operasi merobohkan struktur haram di kawasan tersebut.
Dalam kejadian itu, lelaki berkenaan dilaporkan datang secara tiba-tiba sambil membawa parang panjang, memaki hamun dan membuat provokasi terhadap petugas.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, ketika kejadian, operasi tersebut turut dikawal oleh pihak polis dan beberapa agensi lain termasuk Tenaga Nasional Berhad dan Syarikat Bekalan Air Selangor.
“Lelaki terbabit dilihat melibas parang di tangan kanannya dan menjerit ke arah petugas penguat kuasa. Dia kemudiannya ditenangkan oleh orang awam sebelum ditahan dan parang dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan. – Media Telus.
Berita berkaitan
July 31, 2025, 2:33 pm
RMK13: Prasekolah akan diwajibkan seawal 5 tahun
July 31, 2025, 1:33 pm
Bayi 7 bulan ditemui maut dengan kesan lebam satu badan, polis tahan ibu bapa angkat
July 31, 2025, 12:52 pm
Trump tangguh pengumuman tarif, sah hadir Sidang ASEAN di KL
July 31, 2025, 10:58 am
Subsidi telur ayam tamat bermula esok, kerajaan perkenal telur gred khas harga berpatutan
July 31, 2025, 10:26 am
Sindiket seludup besi buruk, e-waste: SPRM geledah 28 syarikat, kerugian cukai cecah RM950 juta
July 31, 2025, 9:25 am
RUU Pendidikan (Pindaan) 2025 lulus, pendidikan menengah kini wajib
July 31, 2025, 8:23 am
Lagu tema 'Malaysia Madani Rakyat Disantuni' wajib dimainkan di semua pejabat kerajaan
July 31, 2025, 8:16 am
Anwar–Prabowo sepakat ASEAN perlu kekal bersatu hadapi cabaran geopolitik
July 31, 2025, 8:04 am
Tukar baju ketika transit elak dicekup, 9 rakyat India ditahan di KLIA
July 31, 2025, 7:24 am