Berita Berita
LKAN dedah penyelewengan minyak masak bersubsidi jejaskan bekalan isi rumah

KUALA LUMPUR 21 Julai – Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang dikeluarkan hari ini mendedahkan berlaku penyelewengan dalam penjualan minyak masak bersubsidi oleh syarikat pembungkus, pemborong dan peruncit kepada golongan tidak layak sehingga menjejaskan bekalan untuk isi rumah di negara ini.
Menurut laporan itu, penemuan berkenaan dikesan hasil lawatan fizikal audit ke beberapa syarikat peruncit yang menunjukkan wujud lebihan jualan kepada pelanggan tertentu.
“Peruncit 1022272-X didapati telah menjual 170 paket minyak masak bersubsidi bernilai RM425 kepada sebuah syarikat penyedia makanan melalui 60 resit pembelian.
“Dua transaksi penjualan melebihi had juga direkodkan di Kedai Runcit TR0005815-V di Kuala Terengganu melibatkan 23 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi bernilai RM57.50,” menurut laporan itu.
Selain itu, semakan audit terhadap sebuah premis peruncit di Kelantan yang dimiliki Syarikat KT0252216-W pada 23 Julai tahun lalu mendapati premis tersebut beroperasi sebagai kedai makan dan menyimpan sebanyak 204 kg minyak masak bersubsidi.
“Sepanjang tahun 2024, syarikat ini dilaporkan membeli 11,390 kg minyak masak bersubsidi daripada lima syarikat pembungkus,” jelas laporan itu lagi.
LKAN turut melaporkan bahawa buku stok sebuah syarikat pemborong di Kuala Terengganu dari Januari 2023 hingga Jun 2024 menunjukkan berlaku 189 transaksi penjualan minyak masak bersubsidi berjumlah 31,059 kg bernilai RM77,647.50 kepada penyedia makanan tanpa perincian nama pembeli. Transaksi hanya direkodkan sebagai ‘cash sale’.
Laporan itu juga menyatakan, purata pengeluaran minyak masak bersubsidi antara 2019 hingga 2024 hanya mencapai 82.6 peratus daripada kuota siling yang ditetapkan.
“Subsidi minyak masak diberikan secara pukal kepada golongan sasar, namun semakan audit menunjukkan golongan tidak layak termasuk bukan warganegara turut menikmati subsidi ini.
“Dasar sedia ada tidak menetapkan syarat kelayakan untuk pembelian minyak masak bersubsidi,” jelas laporan itu.
Menerusi Prosedur Operasi Standard (SOP) Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) yang mula berkuat kuasa pada 1 Oktober 2023, penggunaan minyak masak rakyat Malaysia dianggarkan 1.5 kg sebulan bagi setiap penduduk. Namun, tiada kajian jelas yang menyokong anggaran tersebut.
“Penetapan kuota sebanyak 60,000 metrik tan sebulan tidak disokong oleh kajian komprehensif terhadap keperluan sebenar berdasarkan corak penggunaan domestik terkini,” kata laporan berkenaan.
Laporan turut menyuarakan kebimbangan terhadap ketiadaan peraturan jelas mengenai kriteria kelayakan pembeli, menyebabkan warga asing turut menikmati subsidi kerana tiada tindakan penguatkuasaan boleh diambil.
Sehubungan itu, LKAN mengesyorkan supaya pemantauan berterusan dilakukan ke atas pemegang kuota, serta tindakan tegas dikenakan sekiranya berlaku ketidakpatuhan.
“Kajian semula terhadap syarat kelayakan pemegang kuota dan penilaian prestasi secara berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan kelangsungan bekalan minyak masak bersubsidi di pasaran,” katanya. – Media Telus
Berita berkaitan
July 21, 2025, 1:02 pm
Kerajaan pertimbang wajibkan rakyat daftar MyDigital ID - Dr Zaliha
July 21, 2025, 12:15 pm
Kes Zayn Rayyan: Zaim dibebaskan, Ismanira diperintah bela diri
July 21, 2025, 12:14 pm
24 penghuni termasuk 4 ustaz Maahad Tahfiz Husnul Khotimah terselamat dalam kebakaran asrama
July 21, 2025, 12:02 pm
Lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran rumah di Flat Hang Tuah
July 21, 2025, 11:58 am
Warga emas rugi RM158,000 diperdaya sindiket waran tangkap palsu
July 21, 2025, 11:56 am
Penghargaan luar biasa kepada rakyat akan diumum esok atau Rabu - Anwar
July 21, 2025, 11:53 am
Mohamad Hasan nafi lawatan Anwar ke Perancis dan Itali tiada makna
July 21, 2025, 11:37 am
Mahkamah Rayuan benarkan Anwar tangguh prosiding saman Yusoff Rawther
July 21, 2025, 11:31 am