TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kes Zayn Rayyan: Zaim dibebaskan, Ismanira diperintah bela diri

By
|
Kongsi
image

PETALING JAYA 21 Julai – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin untuk membela diri atas pertuduhan mengabaikan anak sulungnya itu, dua tahun lalu.

Hakim Dr. Syahliza Warnoh membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ismanira Abd Manaf, 30.

Bagaimanapun, suami tertuduh, Zaim Ikhwan Zahari yang turut didakwa atas pertuduhan sama, dilepaskan dan dibebaskan selepas mahkamah berpendapat pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen pengabaian terhadap bapa kanak-kanak tersebut.

Menurut Dr. Syahliza, keputusan dibuat selepas mendengar dan meneliti hujahan kedua-dua pihak serta keterangan 28 saksi yang dipanggil sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.

Terdahulu, pihak pendakwaan menutup kes pada 24 April lalu selepas memanggil 28 saksi sepanjang 20 hari perbicaraan yang bermula 4 Februari lepas.

Pasangan suami isteri itu didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di kawasan sekitar Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berhampiran antara jam 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Untuk rekod, Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023 sebelum mayatnya ditemukan sehari kemudian di aliran anak sungai berhampiran kediamannya. – Media Telus

+ - reset