TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Warga emas rugi RM158,000 diperdaya sindiket waran tangkap palsu

By
|
Kongsi
image

IPOH 21 Julai – Seorang lelaki warga emas kerugian sebanyak RM158,000 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai insurans dan polis, kononnya mendakwa beliau memiliki waran tangkap.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa berusia 73 tahun menerima panggilan daripada individu yang mendakwa dirinya sebagai pegawai insurans dan menyatakan bahawa mangsa mempunyai tunggakan bayaran.

“Panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang lagi suspek yang menyamar sebagai anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

“Mangsa diberitahu bahawa dia terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan nilai RM2 juta serta terdapat waran tangkap atas namanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam keadaan panik, mangsa diugut dan diarahkan untuk membuat 12 transaksi ke beberapa akaun bank yang berbeza kononnya untuk tujuan jaminan dan siasatan dalaman.

Jumlah keseluruhan wang yang dipindahkan adalah RM158,000.

Tambah Abang Zainal, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas tidak menerima sebarang maklum balas lanjut daripada pihak yang menghubunginya, sebelum membuat laporan polis semalam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Pihak polis sedang giat menjalankan siasatan dan usaha mengesan suspek serta pemilik akaun bank yang terlibat dalam kes ini,” katanya. – Media Telus

+ - reset