Berita Berita
Kerajaan pertimbang wajibkan rakyat daftar MyDigital ID - Dr Zaliha

KUALA LUMPUR 21 Julai - Kerajaan sedang meneliti kemungkinan menggubal satu akta bagi menggalakkan atau mewajibkan rakyat mendaftar MyDigital ID susulan pendaftaran sedia ada yang masih bersifat sukarela.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, kekangan untuk menarik lebih ramai mendaftar timbul kerana ketiadaan mekanisme perundangan yang boleh menggalakkan penyertaan menyeluruh.
“Bagi menggalakkan lebih ramai menggunakan MyDigital ID, ada kekangan sebab pendaftaran bersifat secara sukarela. Ini antara perkara yang kita kena bincangkan dengan lebih terperinci lagi.
“Bagaimana hendak pastikan lebih ramai mendaftar dalam MyDigital ID? Kerajaan sedang melihat kemungkinan untuk kita mewujudkan mungkin akta yang boleh menggalakkan, mewajibkan rakyat untuk mendaftar,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang menyuarakan kebimbangan berkaitan keselamatan dan privasi data susulan gangguan sistem autogate baru-baru ini.
Ronald turut mempersoalkan kadar penggunaan MyDigital ID yang masih rendah berbanding platform digital kerajaan lain seperti Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dan Budi MADANI.
Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata kerajaan bersama pihak MyDigital ID sedang melaksanakan pelbagai langkah untuk memastikan aspek keselamatan data sentiasa terpelihara.
Menurutnya, sehingga suku kedua 2025, seramai 2.8 juta rakyat Malaysia telah mendaftar dengan MyDigital ID, meningkat satu juta berbanding suku pertama tahun ini.
Katanya, jumlah itu dijangka terus meningkat seiring dengan perluasan 'kes penggunaan' iaitu aplikasi atau perkhidmatan yang menggunakan MyDigital ID sebagai kaedah pengesahan identiti.
“Contohnya, log masuk ke portal MyGOV, mengakses aplikasi MyJPJ dan verifikasi pemilik kad SIM prabayar.
“Jadi, semakin banyak kes penggunaan MyDigital ID diperkenalkan dalam sistem dan perkhidmatan kerajaan atau swasta, semakin tinggi keperluan pengguna untuk mendaftar MyDigital ID,” katanya.
Dalam masa sama, integrasi sistem antara aplikasi kerajaan dan MyDigital ID juga terus meningkat dengan 82 sistem telah dihubungkan setakat ini.
Daripada jumlah itu, 35 merupakan sistem aplikasi kerajaan, 17 sedang dalam pelaksanaan, manakala 21 lagi berada dalam peringkat perbincangan awal.
“Di samping itu, tujuh sistem aplikasi bukan kerajaan berjaya diintegrasi dan dua lagi sedang dilaksanakan, menjadikan jumlah keseluruhan integrasi adalah sebanyak 82 sistem, ini peningkatan hampir dua kali ganda berbanding Mac lalu,” katanya.
Berita berkaitan
July 21, 2025, 12:15 pm
Kes Zayn Rayyan: Zaim dibebaskan, Ismanira diperintah bela diri
July 21, 2025, 12:14 pm
24 penghuni termasuk 4 ustaz Maahad Tahfiz Husnul Khotimah terselamat dalam kebakaran asrama
July 21, 2025, 12:02 pm
Lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran rumah di Flat Hang Tuah
July 21, 2025, 11:58 am
Warga emas rugi RM158,000 diperdaya sindiket waran tangkap palsu
July 21, 2025, 11:56 am
Penghargaan luar biasa kepada rakyat akan diumum esok atau Rabu - Anwar
July 21, 2025, 11:53 am
Mohamad Hasan nafi lawatan Anwar ke Perancis dan Itali tiada makna
July 21, 2025, 11:37 am
Mahkamah Rayuan benarkan Anwar tangguh prosiding saman Yusoff Rawther
July 21, 2025, 11:31 am
Puad syor Ketua Hakim Negara tidak dilantik pengerusi JAC
July 21, 2025, 11:25 am