TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pegawai KPDN didakwa minta rasuah RM8,500 dorongan henti siasatan kes minyak masak terpakai

By
|
Kongsi
image

 

SEREMBAN 24 Julai - Seorang Penolong Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta rasuah berjumlah RM8,500, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Sahzul Hisam Samsuri, 51, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan, Sahzul Hisam didakwa meminta wang tersebut daripada seorang lelaki berusia 53 tahun sebagai dorongan untuk tidak meneruskan siasatan berkaitan kes membawa minyak masak terpakai tanpa lesen yang sah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan menerusi panggilan telefon pada 11 September 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa’ Zamri, mencadangkan wang jaminan sebanyak RM8,000 dengan beberapa syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di Pejabat SPRM Selangor setiap bulan serta tidak mengganggu saksi.

Bagaimanapun, tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan telah digantung tugas, tidak mempunyai pendapatan tetap, serta menanggung enam ahli keluarga.

“Sebelum ini saya juga telah dituduh atas kes sama di Mahkamah Shah Alam dengan jaminan RM9,000. Wang yang saya bawa pagi ini cuma RM3,000. Mohon pertimbangan Yang Arif,” katanya dalam rayuan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan.

+ - reset