Berita Berita
Muhyiddin seru peserta himpunan ‘Turun Anwar’ jaga adab dan elak provokasi

KUALA LUMPUR 25 Julai – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati peserta Himpunan ‘Turun Anwar’ agar tidak mencetuskan sebarang provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam sepanjang perhimpunan berlangsung esok.
Beliau turut mengingatkan agar peserta sentiasa menjaga adab, tatasusila dan mematuhi undang-undang sepanjang perhimpunan aman itu.
“Saya menyeru rakyat Malaysia untuk datang beramai-ramai menyertai perhimpunan ini bagi menunjukkan sikap terhadap kegagalan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ingat, menyertai perhimpunan aman adalah hak setiap rakyat Malaysia yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Tidak ada sesiapa pun yang boleh menghalangnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Muhyiddin juga memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar menjaga keamanan dan ketenteraman sepanjang himpunan itu berlangsung.
Menurutnya, beliau dan rakan-rakan kepimpinan PN akan turut hadir menyertai perhimpunan tersebut.
Dalam kenyataan sama, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut mendakwa Anwar telah gagal mengurus negara serta memungkiri janji kepada rakyat.
“Langkah mengumumkan bantuan RM100 dan penurunan harga petrol RON95 sebanyak enam sen hanyalah tindakan terdesak untuk mengekang rasa tidak puas hati rakyat,” dakwanya.
Muhyiddin menyifatkan langkah itu bukan penyelesaian tuntas kepada masalah kos sara hidup rakyat yang semakin membebankan.
“Bukan sahaja isu beban kos sara hidup gagal ditangani, malah cukai baharu turut diperkenalkan dan subsidi dipotong, menambahkan lagi tekanan kepada rakyat.
“Janji tatakelola baik dan kebebasan bersuara juga dilanggar. Semakin ramai rakyat biasa diugut, disiasat dan didakwa hanya kerana membantah dasar kerajaan,” katanya lagi.
Perhimpunan ‘Turun Anwar’ dijangka menghimpunkan antara 10,000 hingga 15,000 peserta yang terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa dan masyarakat awam.
Peserta akan berkumpul di lima lokasi utama iaitu Masjid Negara, Pasar Seni, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Masjid Jamek Kampung Baru dan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, sebelum berarak ke Dataran Merdeka. – Media Telus
Berita berkaitan
July 26, 2025, 6:49 pm
Polis sahkan 80,000 peserta turun Himpunan Turun Anwar, tiada insiden kekecohan
July 26, 2025, 5:18 pm
Tunggu hasil siasatan polis, KPM jamin ambil tindakan adil kes kematian Zara Qairina
July 26, 2025, 4:41 pm
Tun M, Muhyiddin hadir di Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka
July 26, 2025, 2:48 pm
'Saya tak dijemput hadiri himpunan' - Anwar
July 26, 2025, 2:30 pm
Ahli Parlimen perlu contohi pelajar sekolah berbahas dengan adab, ilmu - Anwar
July 26, 2025, 1:50 pm
AKPS tolak kemasukan 99 warga asing di KLIA, tujuan lawatan meragukan
July 26, 2025, 12:21 pm