TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KPM beri jaminan tindakan susulan selepas siasatan kematian pelajar selesai

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 25 Julai – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil bergantung kepada hasil siasatan polis berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, baru-baru ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek menasihatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes yang masih dalam siasatan pihak berkuasa.

“Beri ruang kepada polis untuk menjalankan tugas secara profesional, telus, menyeluruh dan berintegriti. Tiada siapa yang akan dilindungi atau terlepas daripada tindakan undang-undang,” katanya menerusi satu catatan di Facebook.

Menurut beliau, KPM menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah telah dan akan terus memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dalam proses siasatan.

“KPM juga komited memastikan kesejahteraan keluarga, murid, guru dan warga sekolah terlibat sentiasa terpelihara,” tambahnya.

Katanya lagi, pelbagai bantuan segera telah disalurkan termasuk aspek sokongan psikososial dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga. Semoga mereka diberi kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi ujian berat ini,” ujar beliau.

Terdahulu, mangsa Zara Qairina, 13, dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolahnya di Papar, Sabah pada awal pagi 17 Julai lalu. – Media Telus

+ - reset