TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hampir 500 PATI ditahan di Chow Kit sejak Januari

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 25 Julai – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur menahan hampir 500 pendatang asing tanpa izin (PATI) di sekitar kawasan Chow Kit sejak Januari lalu susulan pelaksanaan operasi berterusan di lokasi berkenaan.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, statistik sehingga 24 Julai menunjukkan kawasan Chow Kit antara lokasi ‘panas’ yang menjadi tumpuan warga asing tanpa dokumen sah di ibu negara.

“Sejak Januari, operasi terus digiatkan dan keberkesanannya jelas apabila ramai warga asing kini mula rasa tidak selesa tinggal secara haram di negara ini.

“Berdasarkan statistik JIM Kuala Lumpur, kawasan sekitar Chow Kit merupakan lokasi ‘hotspot’ utama. Operasi dilakukan setiap dua minggu dan setiap kali operasi dianggarkan 50 hingga 100 orang ditahan,” katanya selepas mengetuai Ops Kutip, di sini, hari ini.

Bagi operasi bermula jam 1.15 pagi tadi, seramai 72 individu disyaki PATI telah ditahan.

“Mereka terdiri daripada 28 lelaki dan 26 wanita warga Indonesia, dua lelaki Myanmar, 11 lelaki Bangladesh, dua lelaki India, seorang lelaki Nepal dan dua lelaki Pakistan. Turut ditahan enam warga tempatan,” katanya.

Menurutnya, warga asing terbabit menyewa beramai-ramai di premis rumah kedai di sekitar Chow Kit dengan kadar bayaran antara RM300 hingga RM500 sebulan, dan bekerja di kawasan berhampiran dalam sektor restoran, pembersihan serta ada juga bekerja sendiri.

JIM Kuala Lumpur juga sedang mengesan pemilik premis yang disyaki melindungi PATI untuk tindakan lanjut.

Mengulas Program Repatriasi Migran (PRM) 2.0, Wan Mohammed Saupee menyeru warga asing tanpa dokumen sah agar menyertai program itu yang membolehkan mereka pulang secara sukarela ke negara asal.

“Alternatif ini jalan terbaik bagi mengelakkan hukuman penjara sekiranya ditahan pihak berkuasa.

“Jangan tunggu sehingga ditahan, kerana tindakan undang-undang lebih keras akan dikenakan. Gunakan peluang balik secara sah melalui PRM dengan bayaran hanya RM500 dan tambahan RM20 untuk pas khas,” katanya.

PRM 2.0 akan berlangsung sehingga April 2026. – Media Telus

+ - reset