TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ahli UMNO dan BN diingat tidak sertai himpunan ‘Turun Anwar’

By
|
Kongsi
image

PONTIAN 25 Julai – Ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak terlibat dalam himpunan ‘Turun Anwar’ yang dijadual berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada Sabtu ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebagai sebahagian daripada komponen Kerajaan Perpaduan, penglibatan dalam perhimpunan anjuran Perikatan Nasional (PN) itu adalah tidak wajar.

“Langsung tiada faktor mendesak untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim diturunkan daripada jawatan Perdana Menteri.

“Kerajaan Perpaduan ini dibentuk hasil kesepakatan yang dicapai pada 24 November 2022, dan ahli UMNO serta BN perlu terus berpegang kepada persefahaman tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Perundingan Belia Negara peringkat daerah Pontian di Pejabat Daerah Pontian, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Pontian, Kamalludin Jamal; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan; dan Yang Dipertua Majlis Belia Daerah Pontian, Nor Mohammad Shawaludin Abd Malik.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, himpunan tersebut berpotensi mencetuskan ketidakstabilan politik serta memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.

“Perhimpunan seperti ini tidak membawa sebarang manfaat. Mereka yang menyertainya akan turut terpalit sebagai pihak yang merosakkan kestabilan politik dan ekonomi negara,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan sentiasa mendekati rakyat melalui pelbagai inisiatif termasuk pengagihan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 kepada golongan B40.

“Memang ada yang kata RM100 tidak mencukupi, namun jumlah itu diberikan kepada 22 juta penerima melibatkan peruntukan sebanyak RM2 bilion.

“Itu belum diambil kira lagi usaha kerajaan menurunkan harga minyak, program Jualan Rahmah dan kadar tol yang tidak dinaikkan,” katanya yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya.

Ahmad turut menyentuh kenyataan Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa BN tidak akan bergerak secara solo sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Katanya, meskipun BN tidak bersendirian, parti itu tetap akan menggunakan logo sendiri dan meneruskan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan. – Media Telus

+ - reset