TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hempap anak dengan kulit durian hingga cedera, ibu kandung didenda, bapa tiri dijel 5 tahun

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 24 Julai - Seorang wanita dan suaminya dijatuhi hukuman denda dan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah mendera anak perempuan berusia lapan tahun sehingga menyebabkan kecederaan di beberapa bahagian badan.

Tertuduh, Yorlini Abdullah Umar, 32, yang juga ibu kandung mangsa, dikenakan denda RM18,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar, manakala suaminya, Bunyamin Sukiman, 42, dijatuhi hukuman penjara lima tahun bermula dari tarikh dia ditangkap.

Hakim Mohd Zaki Mohd Salleh menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua tertuduh membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.

Menurut fakta kes, penderaan berlaku selepas seorang Penolong Kanan Hal Ehwal Murid memanggil mangsa ke pejabat kerana dituduh memotong tudung rakan sekelasnya

 Namun, siasatan mendapati pelaku sebenar bukan mangsa.

Mangsa kemudiannya memaklumkan telah dipukul oleh ibu dan bapa tirinya.

Antara perlakuan zalim yang dilakukan termasuk meletakkan tangan mangsa ke lantai dan menghempapnya dengan kulit durian beberapa kali, memiat telinga serta merendam tangan mangsa dalam air garam suam.

Kejadian berlaku di kediaman mereka di Jalan Ampang, kira-kira jam 6 petang pada 16 Julai lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ravindejit Kaur, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Simret Singh dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Peguam tertuduh memohon hukuman minimum dengan alasan Yorlini tidak bekerja manakala Bunyamin merupakan pencari nafkah tunggal keluarga serta kedua-duanya telah insaf sepanjang tempoh reman tujuh hari.

Namun, pihak pendakwaan memohon hukuman berat memandangkan mangsa adalah anak kandung sendiri yang seharusnya dilindungi, bukan disakiti.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menandatangani bon berkelakuan baik tanpa cagaran dengan seorang penjamin untuk tempoh 12 bulan.

+ - reset